KEDAH TELITI CADANGAN PERMUDAH URUSAN JUAL BELI MENJELANG RAMADAN-MUKHRIZ MAHATHIR.
KEDAH TELITI CADANGAN PERMUDAH URUSAN JUAL BELI MENJELANG RAMADAN-MUKHRIZ MAHATHIR.

KEDAH TELITI CADANGAN PERMUDAH URUSAN JUAL BELI MENJELANG RAMADAN-MUKHRIZ MAHATHIR.

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah akan meneliti beberapa cadangan yang diterima atau dilaksanakan di negeri lain berhubung pelaksanaan aktiviti penjualan dan pembelian menjelang Ramadan, untuk melihat kesesuaiannya bagi dilaksanakan di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan negeri sedar akan keinginan peniaga untuk meneruskan perniagaan di bulan Ramadan serta kehendak pembeli yang mahu mendapatkan barangan mahu pun juadah berbuka puasa, dalam keadaan bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kedah dibatalkan.

“Kita ada berbincang berhubung perkara itu namun belum membuat keputusan. Bazar Ramadan dan Aidilfitri telah diputuskan untuk dibatalkan namun tentu ada peniaga yang mahu menjual dan pelanggan hendak membeli.

“Jadi kita teliti cadangan datang dari negeri lain untuk lihat kesesuaiannya di Kedah. Memang ada beberapa pihak termasuk dari platform e-dagang yang hadir memberi cadangan namun perkara itu belum diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas COVID-19 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kerajaan Negeri Selangor yang turut mengambil langkah membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini, semalam mengumumkan pelaksanaan E-Bazar Ramadan Selangor Grab bagi membolehkan para peniaga menjana pendapatan semasa Ramadan selain memberi peluang rakyat negeri itu membeli juadah berbuka puasa secara atas talian.

Dalam masa sama Mukhriz berkata, kerajaan negeri tidak akan menganjurkan sebarang majlis berbuka puasa walaupun jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dalam masa terdekat.

“Walaupun PKP berakhir, kita takkan adakan majlis berbuka puasa. Kita tak mahu galakkan orang berhimpun di satu-satu tempat untuk tujuan begitu,” katanya.

Sementara itu katanya, Kedah dilihat berjaya meratakan lengkung penyebaran COVID-19 dengan negeri ini berada di kedudukan ke-13 dalam senarai jangkitan pandemik tersebut.

Menurutnya setakat pukul 5 petang semalam, secara keseluruhan terdapat 91 kes positif COVID-19 di Kedah dengan 65 sudah pun sembuh sementara 24 orang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan seorang dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi.

“Hospital di Kedah tidak terlalu dibebankan dengan jumlah pesakit dan masih berada dalam tahap sangat terkawal. Masih banyak kapasiti yang ada dengan kita hanya menggunakan 11 peratus daripada keseluruhan kemampuan yang kita ada untuk merawat pesakit COVID-19.

“Usaha untuk membendung penularan COVID-19 di negeri ni dilihat berjaya namun pematuhan kepada PKP perlu diteruskan supaya rangkaian penyakit ini dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi perhatian kepada beberapa aspek sebagai persediaan sekiranya PKP dilanjutkan berbanding tarikh ditetapkan setakat ini iaitu 14 April depan.

“Kita mahu pastikan bekalan makanan, urusan perniagaan untuk barangan keperluan dan persiapan pertanian berjalan lancar.

“Dalam masa sama kita mohon perhatian daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu sektor Industri Kecil Sederhana (IKS) yang mana operasi mereka mungkin terjejas sekiranya PKP dilanjutkan. Nasib pekerja mereka terutamanya yang bergaji harian juga amat perlu diberi perhatian dengan orang seperti inilah yang sangat memerlukan bantuan,” katanya.

(Visited 4 times, 1 visits today)

COMMENTS