‘Kedah tidak patut kalah, saya yakin 100 peratus Kedah patut dapat penalti’

‘Kedah tidak patut kalah, saya yakin 100 peratus Kedah patut dapat penalti’

Rentetan enam perlawanan tanpa kalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya telah dinoktahkan Terengganu FC dan Aidil Sharin merasakan ia tidak sepatutnya berlaku.

Kedah tewas tipis 1-2 selepas mendahului aksi sebelum Terengganu bangkit mengejar dan memenangi aksi minggu ke-8 Liga Super 2021, malam tadi. Ini juga merupakan kekalahan pertama mereka di laman sendiri selepas tiga kemenangan sebelum ini.

Menurut Aidil Sharin, “Para pemain telah buat yang terbaik. Kami kawal perlawanan dan bermain lebih baik berbanding Terengganu. Kami tidak sepatutnya kalah dengan cara kami bermain. Mereka memiliki dua peluang dan memanfaatkannya.”

“Saya simpati dengan pemain-pemain saya kerana mereka telah bekerja keras tetapi keputusan tidak memihak kepada kami. Kami perlu terima kekalahan ini dan terus bergerak ke depan,” jelas Aidil Sharin mengenai keputusan perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan tersebut, Kedah dilihat beraksi dengan sangat baik di babak pertama dan juga di penghujung perlawanan selepas pertukaran beberapa pemain dibuat. Terengganu ambil peluang ketika Kedah hilang arah di awal babak kedua.

Sebaik sahaja babak kedua bermula, Terengganu berjaya memberi tekanan kepada benteng tuan rumah melalui dua pemain sayap iaitu Hakimi Abdullah dan Faisal Halim dengan larian-larian pantas mereka ke dalam kawasan defensif third Kedah.

Kedua-dua pemain ini yang menjadi duri dalam daging di saat Kedah masih tercari-cari rentak di awal babak kedua selepas jaringan penyamaan David da Silva menerusi sepakan penalti yang diperolehi mereka di penghujung babak pertama.

Dan pemain tengah berusia 20 tahun, Azam Azmi berhasil menjaringkan gol pertama dalam kariernya di minit ke-60 untuk Terengganu mendahului perlawanan dan memberi tekanan mental buat semua pemain Kedah yang belum bertenang.

Gol Azam Azmi itu seolah-olah memberikan nyawa baharu buat Terengganu apabila mereka tampil dengan lebih berkeyakinan membendung asakan pemain-pemain gantian Kedah yang telah dimasukkan Aidil Sharin untuk mengubah keputusan.

Mengenai percaturannya meletakkan Fandi Othman berbanding Fairuz Zakaria, Aidil Sharin menjelaskan, “Anda tidak boleh letak pemain yang mengalami kekejangan kaki berdepan Selangor untuk bermain aksi sebegini selepas hanya 48 jam.”

Mengulas mengenai sepakan penalti yang seharusnya Kedah dapati, beliau yakin yang bola tersebut terkena tangan pemain lawan. Ujarnya, “Saya yakin 100 peratus. Saya tidak katakan pengadil salah, tetapi saya telah melihat video [kejadian tersebut].”

“Ia sangat-sangat jelas dan mengecewakan. Mereka dapat penalti berpunca daripada perkara yang sama. Saya tidak tahu [kenapa]. Saya tidak mahu mengulas mengenai pengadil, jadi saya serahkannya kepada bahagian pengadil untuk melihatnya.

“Jika anda tidak berlaku adil, para pemain akan mula hilang sabar dalam perlawanan, terutamanya dalam aksi berintensiti tinggi sebegini. Perkara yang sama berlaku dalam aksi JDT berdepan Perak. Saya harap ia akan ditambahbaik selepas ini,” ulasnya.

Kekalahan ini menyaksikan skuad Hijau Kuning juga terlepas peluang untuk berada di puncak seketika dan kekal di kedudukan kedua liga dengan 16 mata, 1 mata di belakang JDT yang akan turun beraksi pada malam ini menentang PJ City FC.-SemuanyaBola

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )