Kedah wujud pusat kawalan operasi bagi persediaan hadapi banjir

Kedah wujud pusat kawalan operasi bagi persediaan hadapi banjir

ALOR SETAR, 14 Okt — Kerajaan negeri Kedah mewujudkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri sebagai persediaan menghadapi bencana banjir susulan musim peralihan monsun yang melanda negara ketika ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pusat itu di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dengan penyertaan agensi lain yang berkenaan bagi memantau keadaan di seluruh negeri dan menyelaras bantuan kepada mangsa.

“Setakat ini, Pendang sudah mengalami banjir dan satu pusat pemindahan iaitu di Dewan Cenderawasih telah dibuka di mana seramai 62 orang daripada 19 buah keluarga telah dipindahkan dan ditempatkan di situ.

“Di daerah Kota Setar juga berlaku kenaikan air di kawasan tertentu tapi tidak melibatkan pemindahan dan buat masa ini kita memang jangkakan ada kenaikan air berdasarkan amaran yang telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan bersedia untuk dipindahkan jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian.

Pada sidang media berasingan, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata selain Dewan Cenderawasih di Pendang, dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di negeri ini iaitu Dewan Tun Razak di Baling dan Dewan Kampung Tradisi Changlun dekat Jitra.

“PPS Dewan Kampung Tradisi Changlun menempatkan tujuh keluarga (21 orang mangsa), manakala PPS Dewan Tun Razak di Baling menempatkan lapan orang mangsa daripada dua keluarga yang dipindahkan akibat ribut semalam,” katanya.

— BERNAMA

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )