Kedai Hardware, E&E, Alat Ganti kenderaan dan Barangan input pertanian dibenarkan beroperasi 5 hari seminggu.
Kedai Hardware, E&E, Alat Ganti kenderaan dan Barangan input pertanian dibenarkan beroperasi 5 hari seminggu.

Kedai Hardware, E&E, Alat Ganti kenderaan dan Barangan input pertanian dibenarkan beroperasi 5 hari seminggu.

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah bersetuju membenarkan kedai-kedai elektrik dan elektronik (E&E), alat ganti kenderaan, barangan input pertanian serta ‘hardware’ untuk beroperasi dalam tempoh lima hari seminggu di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat.

Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sr. Tan Kok Yew berkata, kedai-kedai tersebut kini dibenarkan beroperasi dari Ahad hingga Khamis.

“Pembukaan kedai pula perlulah mengikut waktu operasi biasa seperti sebelum PKP dilaksanakan.

“Sebagai contoh, jika kedai tersebut beroperasi antara pukul 9 pagi hingga 5 petang sebelum PKP, maka mereka hanya dibenarkan untuk beroperasi dalam waktu tersebut di sepanjang PKP fasa empat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini kedai alat ganti kenderaan, barangan input pertanian dan hardware di negeri ini cuma dibenarkan beroperasi dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

Menurut Kok Yew, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri kedah Selaras Pelanjutan Tempoh PKP pada 27 April lalu sebelum dilaporkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) mengenai COVID-19 dipengerusikan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, waktu operasi kedai-kedai tersebut hendaklah dipastikan untuk tidak lebih awal daripada pukul 8 pagi dan tidak melebihi 8 malam.

Mengulas kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) kelmarin yang menyatakan sektor-sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dalam PKP satu, dua dan tiga dibenarkan meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing, Kok Yew menjelaskan pihaknya masih menanti penjelasan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu.

“Bagi kilang mahu pun industri yang telah mendapat kebenaran MITI untuk beroperasi dalam tempoh 16 dan 24 jam sebelum ini, tiada masalah untuk mereka meneruskan operasi dalam tempoh tersebut.

“Tetapi bagi sektor lain seperti kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak, setakat ini operasi mereka di negeri ini masih perlu kekal antara 8 pagi hingga 8 malam. Diharap semua pihak bersabar kerana kita difahamkan akan ada SOP dikeluarkan kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu,” katanya.

(Visited 23 times, 1 visits today)

COMMENTS