Kediaman MB Kedah mula dinaiki air
Kediaman MB Kedah mula dinaiki air

Kediaman MB Kedah mula dinaiki air

Pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon, di Alor Setar, dinaiki air ekoran hujan lebat petang tadi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keadaan itu berlaku akibat aliran air parit yang agak perlahan ke sungai.

Beliau berharap limpahan air itu tidak memasuki kediamannya.

“Ayaq naik sikit petang niii…harap-harap tak masuk dalam rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook berserta tiga foto yang menunjukkan pekarangan kediaman itu yang digenangi air.

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkenaan dilapor memberitahu air kemudiannya telah surut menjelang senja tadi.

Hujan lebat di Kedah menepati ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang dikeluarkan jam 5.50 petang tadi.

MET Malaysia turut menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di Kedah berlaku sehingga malam.

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan pula berkata, paras air di beberapa sungai dikhuatiri akan memberi kesan terhadap kawasan rendah di sepanjang Sungai Padang Terap, Sungai Anak Bukit, Sungai Kedah dan Sungai Pendang.

Jelasnya, paras air Sungai Padang Terap di Kuala Nerang melepasi aliran puncak dan menurun ke paras amaran, iaitu pada paras 17.03 meter (m) dengan aliran 184 meter padu sesaat (m³/s).

Menurutnya lagi, takungan air di Empangan Ahning kini berada pada paras 74.95 peratus dan Empangan Pedu (86.97 peratus), serta tiada pelepasan air dilakukan bagi kedua-dua empangan itu, setakat ini.

Berita Penuh: MalaysiaDateline

(Visited 8 times, 1 visits today)

COMMENTS