Kejadian kepala air Gunung Jerai, 3 selamat, 1 hilang

Kejadian kepala air Gunung Jerai, 3 selamat, 1 hilang

Tiga kakitangan Jerai Hill Resort, terselamat manakala seorang lagi masih hilang selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, seorang daripada kakitangan terbabit cedera di bahu dan dihantar ke hospital menggunakan khidmat EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.38 petang.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di bahu adalah Muhamad Muslim Shaari, 36, manakala dua lagi kakitangan Muhamad Soleh Abdul Halim, 30-an, dan Muhammad Siraj Munir Muhamad Abdul Malek, 33, tidak cedera.

“Kesemua mangsa adalah pekerja di Jerai Hill Resort di puncak Gunung Jerai.

“Setakat ini, masih terdapat seorang mangsa iaitu Mohamad Syahruzi Muhamad, 40-an, gagal dikesan.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan kita sedang menunggu Unit STORM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, kepala air turut mengakibatkan banjir kilat sekitar kampung di kaki gunung di Yan dan Merbok dengan lebih 10 rumah penduduk dilaporkan rosak.

Ketika ini, operasi menyelamat masih dilakukan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA).

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )