Kemelut Zii Jia dan BAM boleh diselesaikan
Kemelut Zii Jia dan BAM boleh diselesaikan

Kemelut Zii Jia dan BAM boleh diselesaikan

BANGI: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi bayangan kemungkinan ada jalan penyelesaian membabitkan kemelut antara jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jelasnya, menerusi pertemuan dengan pemain nombor tujuh dunia itu semalam, beliau sudah mendapat gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku, malah sudah bercakap dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Saya sudah mendapat gambaran yang jelas dan sudah bercakap dengan Tan Sri Norza. Saya nampak memang kedua-dua pihak komited untuk meletakkan kepentingan negara sebagai perkara paling utama.

“Saya sebagai menteri hanya mahu cuba mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), hari ini.

Jumaat lalu BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

Susulan itu, Zii Jia sudah mengemukakan surat rayuan berhubung tindakan BAM itu semalam dan badan induk berkenaan sedang mempertimbangkan permohonannya.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.

Mengulas lanjut pertemuan dengan Zii Jia serta Jin Wei, Ahmad Faizal berkata, kedua-duanya pemain itu mempunyai alasan berbeza mengapa keluar daripada BAM.

“Saya percaya BAM akan mendengar apa juga yang mereka mahukan. Jadi kita doakan perkara yang baik-baik sahaja,” katanya. —Berita Harian

(Visited 19 times, 1 visits today)

COMMENTS