KEMUNGKINAN TIADA SOLAT TARAWIH DI MASJID, SURAU TAHUN INI-MUFTI KEDAH.
KEMUNGKINAN TIADA SOLAT TARAWIH DI MASJID, SURAU TAHUN INI-MUFTI KEDAH.

KEMUNGKINAN TIADA SOLAT TARAWIH DI MASJID, SURAU TAHUN INI-MUFTI KEDAH.

ALOR SETAR – Umat Islam mungkin tidak berpeluang untuk menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau-surau pada tahun ini berikutan penularan pandemik COVID-19 yang masih cuba ditangani sebaik mungkin ketika ini.

Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang berkata, perkara itu dibincangkan beliau bersama kalangan mufti dari negeri lain dalam persidangan video anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pagi tadi.

Menurutnya, persidangan video tersebut turut disertai oleh golongan yang arif dalam perundangan.

“Selain membincangkan mengenai penggalakan bayaran zakat secara atas talian, kami turut bercakap mengenai solat sunat terawih. Ada beberapa mufti mahu seboleh-bolehnya solat sunat tersebut dilaksanakan di masjid atau surau dalam jumlah jemaah yang sedikit.

“Namun kami difahamkan pihak paling berautoriti ketika ini adalah Kementerian Kesihatan. Perkara ini akan dirujuk sepenuhnya kepada kementerian, namun saya percaya rasanya tahun ini solat sunat terawih di masjid dan surau takkan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan pengenalan kadar zakat fitrah di Kedah di Menara Zakat dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, perkara itu dibincangkan oleh para mufti dengan turut mengambil kira keadaan semasa.

“Kalau solat Jumaat yang lebih tinggi dan wajib tuntutannya pun tidak dibenarkan, apatah lagi solat sunat seperti ini,” katanya.

(Visited 49 times, 1 visits today)

COMMENTS