Kenapa kilang boleh beroperasi, pusat membeli belah dan bazar aidilfitri terpaksa ditutup?

Kenapa kilang boleh beroperasi, pusat membeli belah dan bazar aidilfitri terpaksa ditutup?

Beberapa pihak mempertikaikan tindakan Putrajaya memfokuskan penggantungan operasi pusat membeli-belah utama kerana berpotensi menjadi “hotspot” mengikut sistem HIDE, tanpa mengambil kira kilang serta lokasi lain yang dilihat menjadi penyumbang lebih besar.

Kira-kira 152 premis dalam senarai HIDE semalam diarahkan ditutup tiga hari, termasuk pusat membeli-belah utama di Lembah Klang seperti 1 Utama Shopping Centre dan Mid Valley Megamall, selain pasar raya seperti Tesco (Lotus).

Dalam hantaran di Facebook hari ini, bekas wartawan Yow Hong Chieh memetik data yang diterbitkan berkata, hanya 4.8% kes daripada kluster antara 22 Feb hingga 2 April melibatkan pusat membeli-belah.

Sebaliknya, kilang merangkumi 48.1% kes dalam tempoh sama, diikuti komuniti (12.6%), tapak pembinaan (11.6%), pusat penahanan (5.6%) dan institusi pendidikan (5.5%).

“Menurut FAQ HIDE, 90% kes datang daripada 0.2% premis yang didaftarkan di MySejahtera.

“Ini bererti sama ada kilang, tapak pembinaan, pusat penahanan dan sebagainya tidak menggunakan MySejahtera atau HIDE menyasarkan premis yang salah,” katanya.

“Sudah pasti sukar untuk mengetahui bagaimana HIDE, yang dibangunkan Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia, membuat senarai ini.

“Selain hanya secara samar menyebut mengenai variabel (seperti kepadatan orang ramai, keluasan ruang dll) serta pengesanan kontak, kita tidak tahu bagaimana ia membuat perhitungan.”

Katanya, beliau mengesyaki HIDE sekadar memfokuskan premis dengan ramai orang awam, dan disebabkan itu pusat membeli-belah, stesen kereta api, pasar raya serta kedai runcit paling tinggi tersenarai.

Selain Yow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei, berkata kebanyakan kes Covid-19 juga dilihat berlaku di tempat kerja.

“Saya tidak melihat gim atau kemudahan sukan lain tersenarai sebagai berpotensi menjadi ‘hotspot.’ Jadi bila pula Kementerian Belia dan Sukan akan membuat ‘pusingan-U’ kali kedua?” soalnya di Twitter semalam.

Pengguna Twitter, @zudeen mempertikaikan kenapa HIDE tidak merangkumi kilang sedangkan itu antara penyumbang utama jangkitan.

Seorang lagi pengguna Twitter, @nizambakeri, turut secara berseloroh menyoal sama ada sistem HIDE sengaja mahu “menyorokkan” kilang.

Terdahulu hari ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa Putrajaya mengamalkan dwistandard dalam penutupan berkaitan HIDE.

“Tiada sebab kedai yang tidak mempunyai Covid-19 perlu ditutup, semata-mata kerana ada kes dikesan di kedai berhampiran,” katanya. – FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )