Kerajaan Kedah perlu segera selamatkan “periuk nasi” penduduk Kuala Kedah

Kerajaan Kedah perlu segera selamatkan “periuk nasi” penduduk Kuala Kedah

Ramai penduduk di sekitar Kuala Kedah terputus mata pencarian berikutan hasil laut tidak dapat dipasarkan seperti biasa berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut. Semalam negeri Kedah mencatatkan pertambahan sebanyak 1,487 kes baru.

Menurut Firdaus Shater, beliau tidak menafikan keperluan kepada perlaksanaan PKPD di Kuala Kedah bagi tujuan mengekang penularan wabak Covid-19, namun berharap pihak kerajaan negeri perlu bertindak pantas dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk Kuala Kedah yang terjejas.

Rata-rata penduduk di pekan Kuala Kedah terjejas teruk kerana hasil laut tidak dapat lagi dipasarkan seperti biasa. Kebanyakkan dari mereka terlibat dengan aktiviti perikanan dan sekarang mereka mengalami kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Sebelum perlaksanaan PKPD pun mereka mengalami kesukaran kerana tidak ramai pembeli dari kalangan penduduk dari luar dapat merentas daerah untuk datang membeli hasil laut di Kuala Kedah, cuma bergantung kepada peraih dan penduduk disekitar sahaja,” ujarnya kepada Kedah Kini.

“Pihak kerajaan negeri Kedah dan Menteri Besar, YAB Muhammad Sanusi perlu segera menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mereka”.

“Semalam saya telah menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang menguruskan keperluan penduduk yang terlibat dan dimaklumkan pihak mereka belum menerima apa-apa bantuan dari kerajaan negeri,” tambah beliau yang juga merupakan Naib Ketua, AMANAH Kuala Kedah.

Menurut Firdaus lagi, Menteri Besar Kedah boleh menggunakan budi bicara beliau untuk meminta bantuan dari kerajaan Persekutuan seperti mana yang dilakukan ketika bencana alam di Jerai baru-baru ini.

“Kepada penduduk Kuala Kedah yang terjejas, anda boleh segera menghubungi pihak PKOB untuk dapatkan bantuan di talian 04-7028070, insyallah kita sama-sama berdoa agar bantuan segera datang dari pihak kerajaan,” ujar Firdaus lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )