KERAJAAN NEGERI TELITI BANTU INDIVIDU BERPENDAPATAN HARIAN CARI REZEKI
KERAJAAN NEGERI TELITI BANTU INDIVIDU BERPENDAPATAN HARIAN CARI REZEKI

KERAJAAN NEGERI TELITI BANTU INDIVIDU BERPENDAPATAN HARIAN CARI REZEKI

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah sedang meneliti beberapa perkara bagi membuka ‘kunci’ yang diharap membolehkan kalangan individu berpendapatan harian, untuk meraih pendapatan secara selamat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, langkah itu setidak-tidaknya diharap dapat membantu golongan tersebut terdiri daripada penjaja kecil, penoreh getah dan nelayan untuk mencari rezeki di sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Tetapi perkara ini perlu kita perhalusi kerana kalau nelayan balik ke pelantar, biasanya akan ada pula peraih yang beramai-ramai menunggu di situ.

“Kalau kita tak benarkan peraih menunggu, nanti nelayan pula merasakan tiada juga keperluan untuk mereka ke laut. Jadi ini antara perkara yang sedang diteliti,” katanya.

Beliau bercakap kepada media ketika mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Anak Bukit dekat sini, hari ini.

Sementara itu Mukhriz berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) esok antara lain akan membincangkan penyampaian bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Implikasi COVID-19 berjumlah RM10 juta seperti diumumkan sebelum ini.

“Sepatutnya pakej rangsangan ini akan dimulakan setelah PKP berakhir. Namun ketika ini kita lihat ramai yang yang memerlukan bantuan.

“Jadi esok kita akan bincang perkara ini terutamanya tentang bagaimana hendak salurkan bantuan secepat mungkin. Insya Allah kita akan juga berbincang dengan persatuan serta wakil-wakil golongan tertentu seperti petani dan nelayan, mengenai cara terbaik untuk menyalurkan bantuan,” katanya.

Pakej rangsangan itu merupakan tambahan kepada RM12.785 juta yang telah diluluskan kerajaan negeri setakat semalam sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menangani pandemik COVID-19.

#Covid19 #stayathome
#KedahAmanMakmur

(Visited 1 times, 1 visits today)

COMMENTS