Kerajaan tidak berhasrat hapuskan tol elak tanggung beban kewangan
Kerajaan tidak berhasrat hapuskan tol elak tanggung beban kewangan

Kerajaan tidak berhasrat hapuskan tol elak tanggung beban kewangan

Kerajaan tiada kemampuan menghapuskan tol di semua lebuh raya kerana pampasan besar perlu dibayar kepada pemilik konsesi, kata Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof.

Beliau berkata, tol percuma tidak dapat direalisasikan kerajaan gabungan itu kerana kerajaan pada waktu ini tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk berbuat demikian.

“Penghapusan tol itu tidak dapat dilaksanakan kerana kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk bayar pampasan itu amat besar sekali,” katanya di Dewan Rakyat.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, kerajaan sedang berunding dengan pelbagai pihak untuk memuktamadkan situasi menang-menang yang tidak membebankan pengguna lebuh raya dan kerajaan berhubung isu tol.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakih (Sabak Bernam-PN) sama ada kerajaan bercadang menghapuskan tol pada masa depan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, projek rintis pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol seluruh negara bertujuan mengurangkan kesesakan trafik di plaza tol.

Katanya, sistem RFID membenarkan kira-kira 1,000 kenderaan melalui tol dalam sejam berbanding hanya 450 kenderaan bagi kad Touch N’ Go dalam tempoh sama.

“Dalam jangka panjang, apa yang kita nak laksanakan adalah tiada lagi sistem gunakan palang tol…maknanya kita akan pintas lalu.

“Kesannya dapat kurangkan kesesakan di plaza tol. Itu yang kita sasarkan. Berdasarkan data, pengguna RFID kini meningkat kepada 18% berbanding hanya 11% sebelum ini,” katanya.

Pada 16 Dis lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Jan lalu.

(Visited 39 times, 1 visits today)

COMMENTS