Kerjasama antara PAS dan PH mungkin tidak - Haji Hadi
Kerjasama antara PAS dan PH mungkin tidak – Haji Hadi

Kerjasama antara PAS dan PH mungkin tidak – Haji Hadi

MARANG: PAS akan memastikan kerjasama politik dengan parti Pakatan Harapan (PH) tidak akan berulang.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata PAS sudah lama bekerjasama dengan PH dan cukuplah sehingga tempoh itu untuk meneruskan kerjasama.

Katanya, kerjasama dengan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan UMNO yang pemimpinnya menjadi Perdana Menteri akan diteruskan.

“Kita akan berusaha mengekalkan dan memperkukuhkan kerjasama ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Pendirian PAS adalah kerjasama dengan parti dalam PH tidak akan berulang,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika mengulas mengenai isu `khemah besar’ apabila beberapa pemimpin PH termasuk DAP dan AMANAH menolak kerjasama menerusi pendekatan `khemah besar’.

Mengulas mengenai PasLeak, Abdul Hadi berkata, PAS menegaskan tidak akan melayan isu PasLeak yang disifatkan sebagai surat layang bertujuan memfitnah parti.

Katanya, hanya golongan loyar buruk yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.

“Tiada keperluan PAS dan saya untuk membuat penafian selepas penjelasan sudah diberikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kelmarin.

“Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita duk layan (melayan) surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang,” katanya.

Abdul Hadi berkata, hanya yang loyar buruk akan melayan surat layang, kerana dari segi undang-undang pun tidak lekat untuk diambil tindakan.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa keratan yang didakwa minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Mengenai laporan polis dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhak membuat laporan polis, tetapi PAS kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu itu.

 

Baca Juga: https://kedahkini.com/tidak-perlu-tunggu-2-tahun-khemah-besar-mampu-kalahkan-umno/

(Visited 192 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )