Kerjasama PAS dengan PN tak ikut perlembagaan parti, dakwa Khairuddin at-Takiri
Kerjasama PAS dengan PN tak ikut perlembagaan parti, dakwa Khairuddin at-Takiri

Kerjasama PAS dengan PN tak ikut perlembagaan parti, dakwa Khairuddin at-Takiri

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa PAS melanggar perlembagaan parti itu berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang keluar daripada PAS kelmarin berkata, kerjasama berkenaan tidak melalui proses penyediaan kertas kerja dan rundingan bersama kepimpinan tertinggi parti itu.

“Dalam PN tak ikut lunas perlembagaan parti, dia (presiden hanya) tandatangan surat…dengan mesyuarat dua, tiga orang sahaja.

“Tandatangan tanpa bawa ke Jawatankuasa PAS Pusat, tanpa kertas kerja ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama untuk dibahaskan, untuk dilihat dari segi siasah syariah, maqasid syariah belum setuju dah lulus. Ini kesilapan,” katanya dalam temu bual disiarkan Bernama TV malam tadi.

Khairuddin berkata, PAS cuba mengekalkan Muafakat Nasional (MN) “hanya di mulut” namun kecenderungan sebenar ialah mahu bersama PN.

Beliau mendakwa ketika menjawat jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin turut meminta beliau membuat kertas kerja berkaitan hala tuju parti dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, dalam kertas kerja itu, beliau menggariskan cara untuk menyekat kemaraan Pakatan Harapan (PH) ialah dengan PAS mengikat hubungan bersama Umno dan Bersatu.

“Bahkan bila sebut dalam kertas kerja, kena betulkan bab PN yang tidak dibuat ikut lunas parti, maka presiden letak kesalahan kertas kerja kepada saya.

“Itu kertas kerja Majlis Syura Ulama dan dikritik Majlis Syura Ulama dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Bagaimana presiden menyalahkan Majlis Syura Ulama dalam satu medan yang bukan medannya. Yang patut kritik dalam Majlis Syura Ulamalah, bukan dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Ini yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu berbeza dengan rundingan MN yang dimeterai bersama Umno sebelum ini dengan mengikut saluran sewajarnya.

“Dasar parti sangat hebat, bermula kertas kerja peringkat Jawatankuasa PAS Pusat, dibawa ke Majlis Syura Ulama berkaitan kerjasama dengan parti lain, setelah dipersetujui Majlis Syura Ulama, dibawa ke dua kali Muktamar PAS pada 2018 dan 2019.

“Akhirnya setuju untuk tubuhkan MN. Draf dibawa ke Jawatankuasa PAS Pusat, dibawa ke Majlis Syura Ulama, turunkan ke Pusat untuk dibetulkan, dibawa (semula) ke Majlis Syura, barulah ditandatangani di depan pimpinan PAS dan Umno di PWTC pada 14 Sept 2019.

“Ini contoh proses dalam parti, tapi apa berlaku dalam PN?” soalnya.–FMT

(Visited 24 times, 1 visits today)

COMMENTS