Kerugian wang rakyat RM9 billion disebabkan oleh isu LCS - Muhyiddin
Kerugian wang rakyat RM9 billion disebabkan oleh isu LCS – Muhyiddin

Kerugian wang rakyat RM9 billion disebabkan oleh isu LCS – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kabinet digesa mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini kerana isu penyelewengan LCS menyebabkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keadaan itu turut merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara berikutan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek berkenaan.

“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita.

“Bantahan ini bagaimanapun tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan. Untuk rekod Menteri Pertahanan pada ketika itu ialah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada masa ini.

“Inilah pemimpin BN yang akan mengetuai parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Jika inilah hakikatnya, adakah rakyat Malaysia akan mempercayai mantra yang akan dibawa oleh BN dalam PRU akan datang?” katanya melalui kenyataan di Facebook sempena dua tahun PN ditubuhkan, di sini.

PN dianggotai oleh BERSATU, PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Muhyiddin berkata, isu penyelewengan LCS adalah antara kesan peninggalan pentadbiran kleptokrasi yang menghantui rakyat hingga kini.

Beliau berkata, PN menentang keras amalan kotor itu dan tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.

“Walaupun pemerintahan kleptokrasi BN telah berakhir pada PRU-14 yang lalu, sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

“Lebih malang sekiranya amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi barah dalam sebuah pemerintahan kleptokrasi berulang kembali di negara kita,” katanya.

Beliau berkata, PN sebaliknya akan terus memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah serta mentadbir negara dengan penuh berintegriti.

Katanya, komitmen PN terhadap falsafah perjuangan prihatin rakyat akan berkekalan, yang mana hanya kerajaan dibentuk oleh gabungan parti dan mengutamakan rakyat melalui dasar bersifat prihatin, akan dapat mengemudi negara ke arah masa depan yang lebih stabil, makmur dan sejahtera.

“Inilah komitmen kami yang paling utama untuk Malaysia. Mudah-mudahan dengan berkat sokongan dan mandat rakyat, PN akan dapat merealisasikan komitmen ini menerusi pembentukan sebuah kerajaan prihatin rakyat dan berintegriti dalam PRU-15 akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

(Visited 80 times, 1 visits today)

COMMENTS