Kes baru Covid19 kembali ke 3 angka, Kedah catat 5 kes

Kes baru Covid19 kembali ke 3 angka, Kedah catat 5 kes

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 23 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 147 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,505 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 770 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 147 kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara dan satu (1) bukan warganegara dari negara:

  • India: Tiga (3) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan warganegara;
  • Indonesia: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan bukan warganegara.

Daripada 143 kes penularan di dalam negara, 115 kes adalah warganegara Malaysia dan 28 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 134 kes
    • 105 kes daripada Kluster Benteng LD yang melibatkan 90 warganegara dan 15 bukan warganegara;
    • Lapan (8) kes daripada Kluster Laut yang melibatkan kesemua bukan warganegara;
    • Lapan (8) kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan enam (6) warganegara dan dua (2) bukan warganegara;
    • Lima (5) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang melibatkan empat (4) warganegara dan satu (1) bukan warganegara;
    • Tiga (3) kes saringan petugas kesihatan di Hospital Semporna yang melibatkan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau;
    • Dua (2) kes daripada Kluster Pulau yang melibatkan warganegara;
    • Dua (2) kes daripada Kluster Udin, iaitu kluster baharu di Tawau, yang melibatkan bukan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang melibatkan warganegara.
  • Kedah: Lima (5) kes
    • Empat (4) kes daripada Kluster Sungai yang melibatkan semua warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara.
  • Selangor: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes saringan masuk kerja yang melibatkan warganegara. Beliau mempunyai sejarah balik dari Semporna, Sabah; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepadakes ke- 10286. Beliau mempunyai sejarah balik dari Semporna,Sabah.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Kelantan: Satu (1) kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dari Sabah yang melibatkan warganegara.

Sehingga kini, terdapat lapan (8) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga (3) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 133 kes (1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  1. Kes kematian ke-131 (iaitu kes ke-10495) merupakan perempuan warganegara Indonesia berumur 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kes mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September 2020. Kes telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September 2020 dalam keadaan separa sedar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 19 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam pada 10.20 malam. Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September 2020.
  2. Kes kematian ke-132 (iaitu kes ke-10493) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun. Kes telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah pada 18 September 2020 bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas. Saringan COVID-19 telah dijalankan. Keadaan kes didapati semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September 2020 di mana kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kes disahkan meninggal dunia pada 22 September 2020 pada jam 6.55 petang.  Pada 22 September 2020, saringan COVID-19 didapati positif.
  3. Kes kematian ke-133 (iaitu kes ke-9224) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok. Kes telah dikesan sebagai kontak rapat kepada kes ke-9124 (kes kematian ke-127) yang merupakan kes positif dalam Kluster Tawar. Kes tidak bergejala, dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kes disahkan meninggal dunia pada 23 September 2020 pada jam 3.40 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

KLUSTER BAHARU DI SABAH: KLUSTER UDIN

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu telah dilaporkan hari ini di Tawau, Sabah. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-9894) adalah seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun. Kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua (2) lagi dikesan positif COVID-19 pada 22 September 2020. Kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Sehingga 23 September 2020, 12:00 tengah hari, sejumlah 128 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Tiga (3) dikesan positif COVID-19;
  • 71 dikesan negatif COVID-19; dan
  • 54 individu menunggu keputusan.

Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang terlibat. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.

STATUS TERKINI BAGI EMPAT (4) KLUSTER DI SABAH DAN SATU (1) KLUSTER DI KEDAH

Kluster Benteng LD

Terdapat 105 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 729 kes. Sehingga 23 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 10,389 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:

  • Tawau (7,826 individu disaring);
    • 570 kes dikesan positif COVID-19 (104 kes baharu);
    • 5,109 individu negatif; dan
    • 2,147 individu menunggu keputusan.
  • Lahad Datu (2,562 individu disaring):
    • 158 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
    • 1,490 individu negatif; dan
    • 914 individu menunggu keputusan.
  • Sandakan – Satu (1) kes dikesan positif COVID-19, tiada saringan dan pertambahan kes baharu.

Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan:

  • 1,736 banduan dan tahanan di mana 617 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,159 kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau di mana 24 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,394 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana 27 kes dikesan positif COVID-19;
  • 1,518 pegawai agensi kerajaan lain di mana tiada kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 4,582 kontak sosial di mana 61 kes dikesan positif COVID-19.

Daripada jumlah 729 kes positif COVID-19, 414 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 315 kes adalah bukan warganegara yang melibatkan negara:

  • Filipina (202 kes); dan
  • Indonesia (113 kes).

Ingin dimaklumkan bahawa jumlah kes akan sentiasa dikemaskini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan. 

Kluster Bangau-Bangau

Terdapat lapan (8) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 13 kes. Sehingga 23 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 105 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:

  • 13 kes dikesan positif COVID-19 (8 kes baharu); dan
  • 92 individu masih menunggu keputusan.

Daripada jumlah 13 kes positif COVID-19, 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tiga (3) adalah warganegara Filipina.

Kluster Laut

Terdapat lapan (8) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Laut pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 12 kes. Sehingga 23 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 488 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:

  • 12 kes dikesan positif COVID-19 (8 kes baharu);
  • 345 individu negatif; dan
  • 131 individu menunggu keputusan.

Kesemua 12 kes positif COVID-19 kluster ini adalah warganegara Filipina.

Kluster Pulau

Terdapat dua (2) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Pulau pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 37 kes. Sehingga 23 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 731 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut daerah adalah seperti berikut:

  • Kunak (618 individu disaring):
    • 31 kes dikesan positif COVID-19 (2 kes baharu);
    • 261 individu negatif; dan
    • 326 individu menunggu keputusan.
  • Semporna (113 individu disaring):
    • Enam (6) kes dikesan positif COVID-19;
    • 37 individu negatif; dan
    • 70 individu masih menunggu keputusan.

Daripada jumlah 37 kes positif COVID-19, 33 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala empat (4) adalah warganegara Filipina.

Kluster Sungai

Terdapat empat (4) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 87 kes. Sehingga 23 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 24,870 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut negeri adalah seperti berikut:

  • Kedah (24,674 individu disaring):
    • 86 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu);
    • 24,469 individu negatif; dan
    • 119 individu menunggu keputusan.
  • Pulau Pinang (142 individu disaring):
    • 142 individu negatif.
  • Perlis (54 individu disaring):
    • Satu (1) kes dikesan positif COVID-19;
    • 52 individu negatif; dan
    • Satu (1) individu menunggu keputusan.

Kesemua 87 kes positif dalam kluster ini merupakan warganegara Malaysia.

Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )