Kes baru Covid19 pecah rekod lagi
Kes baru Covid19 pecah rekod lagi

Kes baru Covid19 pecah rekod lagi

Kes baru penularan wabak Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi dengan 2,234 kes setakat jam 12 tengah hari ini.

Sebelum ini, negara mencatatkan kes tertinggi pada 24 November lalu iaitu sebanyak 2,188 kes dengan sejumlah besar kes membabitkan kluster Teratai yang berkaitan pekerja di asmrama kilang Top Glove.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 78,499 kes dengan kes aktif sebanyak 11,867.

Daripada kes baru itu, Lembah Klang sahaja mencatatkan lebih 60 peratus kes baru dengan Selangor sahaja mempunyai 1,428 kes. Ini diikuti oleh Sabah dengan 274 dan Kuala Lumpur 136.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Perak (115), Johor (100), Negeri Sembilan (67), Pahang (45), Pulau Pinang (42), Kedah (14), Melaka (5), Kelantan (3), Terengganu (3), Sarawak (1) dan Putrajaya (1).

Sementara itu, negeri-negeri lain tidak mencatatkan sebarang kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat lima kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini. Tiga daripada kluster baru itu adalah di Lembah Klang manakala dua lagi di Johor.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 214 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Merbok di Selangor, kluster Lintas di Sabah, dan kluster Telipok di Sabah.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster,” katanya.

Daripada keseluruhan 2,234 kes baru hari ini, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,112 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 66,236 atau 84.4 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 124 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 60 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 396 kes atau 0.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sumber: Malaysiakini

(Visited 5 times, 1 visits today)

COMMENTS