Kes Covid19 semakin meningkat, KKM pertingkat kesiapsiagaan hospital
Kes Covid19 semakin meningkat, KKM pertingkat kesiapsiagaan hospital

Kes Covid19 semakin meningkat, KKM pertingkat kesiapsiagaan hospital

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 6 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, KKM ingin memaklumkan bahawa 394 kes telah dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah (iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) hari ini, 294 kes lain-lain dan 3 kes import. Oleh itu, secara keseluruhannya, 691 kes baharu telah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 13,504 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,936kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 691 kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan satu (1) warganegara dan dua (2) bukan warganegara mengembara dari negara:

  • India: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan warganegara; dan
  • Mesir: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan bukan warganegara.
  • Filipina: Satu (1) kes dilaporkan di Selangor yang merupakan bukan warganegara.

Daripada 688 kes penularan di dalam negara, 661 kes adalah warganegara Malaysia dan 27 kes adalah bukan warganegara. Daripada 688 kes tersebut juga, dimaklumkan sekali lagi bahawa sebanyak 394 kes adalah merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah (iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) hari ini. Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 219 kes
    • 120 kes saringan bergejala yang melibatkan 117 warganegara dan tiga (3) bukan warganegara;
    • 36 kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara;
    • 30 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 10 warganegara dan 20 bukan warganegara;
    • 19 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Ramai-Ramai yang melibatkan warganegara;
    • Lima (5) kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang melibatkan warganegara;
    • Lima (5) kes saringan petugas kesihatan yang melibatkan warganegara; dan
    • Empat (4) kes saringan masuk kerja yang melibatkan warganegara.
  • Kedah: 397 kes 
    • 394 kes daripada Kluster Tembok yang melibatkan 391 warganegara dan tiga (3) bukan warganegara; dan
    • Tiga (3) kes daripada Kluster Bah Sintok yang melibatkan warganegara.
  • Selangor: 38 kes
    • 17 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • 11 kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara; 
    • Sembilan (9) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan lapan (8) warganegara dan satu (1) bukan warganegara; dan
    • Satu (1) kes daripada Kluster Embun yang melibatkan warganegara.
  • Perak:  Lapan (8) kes 
    • Tujuh (7) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Batu yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Negeri Sembilan: Tujuh (7) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Johor: Enam (6) kes
    • Tiga (3) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara; dan
    • Tiga (3) kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Empat (4) kes
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes saringan pra pembedahan yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan warganegara.
  • Sarawak: Tiga (3) kes
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes saringan di Pintu Masuk Domestik pulang dari Semenanjung Malaysia yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan warganegara.
  • Pulau Pinang: Tiga (3) kes
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kematian yang melibatkan warganegara.
  • Terengganu: Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Satu (1) kes daripadaKluster Selasih yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Labuan: Satu (1) kessaringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.

Sehingga kini, terdapat 31 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lapan (8) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat (4) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes (1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-138 (iaitu kes ke- 11154) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020.  Saringan COVID-19 didapati positif pada 26 September 2020. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi.
  • Kes kematian ke-139 (iaitu kes ke-12431) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020.  Saringan COVID-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi.
  • Kes kematian ke-140 (iaitu kes ke-12432) merupakan bayi perempuan warganegara Malaysia berumur 1 tahun. Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang.
  • Kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13067) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental. Kes ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang. Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan COVID-19 dikesan positif.

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

DUA (2) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • Perak (1 kluster); dan
  • Sabah (1 kluster).

1) KLUSTER BATU, PERAK

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Taiping, Perak. Kluster ini dikenal pasti hasil saringan di kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan. Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh (7) kes dikesan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020 dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Tujuh (7) dikesan positif COVID-19;
  • 182 individu dikesan negatif; dan
  • 671 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

2) KLUSTER RAMAI-RAMAI, SABAH

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Sandakan, Sabah. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September 2020. Kes dikesan positif COVID-19 pada 3 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 166 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • 20 dikesan positif COVID-19; dan
  • 146 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

STATUS TERKINI KLUSTER-KLUSTER AKTIF YANG LAIN DENGAN KES POSITIF COVID-19 PADA HARI INI

Selain daripada dua (2) kluster di atas, terdapat tujuh (7) kluster aktif lain yang mempunyai kes positif COVID-19 pada hari ini iaitu:

  1. Kluster Tembok – 394 kes baharu;
  2. Kluster Bangau-Bangau; 30 kes baharu;
  3. Kluster Jalan Meru – 15 kes baharu
  4. Kluster Bah Sintok – 3 kes baharu;
  5. Kluster Benteng PK- 2 kes baharu;
  6. Kluster Selasih- 1 kes baharu;dan
  7. Kluster Embun- 1 kes baharu;

Maklumat lanjut kluster-kluster ini adalah seperti di Lampiran 2.

KESIAPSAGAAN DAN PENINGKATAN KAPASITI HOSPITAL DI MALAYSIA

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 6 Oktober 2020, jumlah katil yang disediakan bagi merawat pesakit COVID-19 adalah sebanyak 6,759 katil, di mana 2,820 katil di Hospital KKM dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah. Kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini adalah sebanyak 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara. Bagi jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, sebanyak 437 buah katil telah dikhususkan bagi pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan sebanyak 6 peratus. Sebanyak 1,505 buah alat mesin pernafasan (ventilator) juga telah disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan sebanyak 37 peratus bagi seluruh negara. Ini termasuk penggunaan bagi pesakit bukan COVID-19.

Khusus bagi Negeri Sabah pula, terdapat enam (6) hospital berpakar yang merawat pesakit COVID-19 iaitu:

  • Hospital Queen Elizabeth (HQE);
  • Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS);
  • Hospital Tawau;
  • Hospital Lahad Datu;
  • Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan;
  • Hospital Keningau.

Bagi menampung peningkatan kes COVID-19, wad-wad tambahan telah dibuka bagi hospital-hospital ini iaitu;

  • Bagi HQE, Kota Kinabalu – Bangunan Kompleks Sukan Likas;
  • Bagi Hospital Tawau – Bangunan Kompleks Sukan Tawau;
  • Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM);
  • Bagi Hospital Lahad Datu – Dewan Tun Hj Mustapha; dan
  • Bagi HDOK Sandakan – Dewan Rafflesia (ILKKM), PPR Batu Putih.

PPR Bubul Ria juga telah dibuka bagi menempatkan kes-kes COVID-19 di daerah Semporna dan Asrama Sekolah Menengah Agama untuk kes-kes daerah Kunak. Kapasiti katil bagi enam (6) hospital KKM dan sepuluh (10) Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) adalah masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil. Sehingga 6 Oktober 2020, kadar penggunaan katil adalah sebanyak 75 peratus di hospital KKM dan 35 peratus di PKRC. Bagi Perkhidmatan Rawatan Rapi pula, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus.

KKM telah dan sedang mengatur pasukan bantuan yang terdiri daripada Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih untuk membantu petugas kesihatan JKN Sabah mengendalikan wad-wad tambahan ini. Begitu juga, KKM telah menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital-hospital di Negeri Sabah.

KESIAPSAGAAN DAN PENINGKATAN KAPASITI MAKMAL DI MALAYSIA

Sebagai langkah kesiapsagaan dan peningkatan kapasiti makmal di Malaysia, terdapat 60 makmal di Malaysia yang boleh menjalankan Ujian real-time reverse-transcription polymerase chain reaction (rRT-PCR), iaitu, 18 hospital-hospital di KKM, 1 Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan 4 Makmal Kesihatan Awam, 1 Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), 2 buah makmal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah makmal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) serta 13 Universiti,  dan 20 makmal-makmal swasta.

Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Malaysia adalah sebanyak 41,354 ujian sehari sekarang. Ujian RT-PCR telah mula dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kapasiti 300 ujian/sehari dan seterusnya diperluaskan ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (500/sehari) dan Makmal Kesihatan Awam Johor Baru (200/sehari) pada bulan Januari.

Manakala untuk negeri Sabah, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Sabah adalah sebanyak 2,500 ujian sehari.

Untuk pelan jangka masa terdekat, KKM sedang mengusahakan satu makmal modular di Tawau sementera menunggu pembangunan satu makmal molekular yang tetap di Hospital Tawau. GENEXPERT merupakan Point of Care Testing (POCT) untuk menjalankan ujian COVID-19 telah diperolehi oleh Kementerian dan ditempatkan di beberapa hospital di Sabah. Kaset GENEXPERT COVID-19 telah diperolehi oleh Kementerian dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan diagihkan kepada Hospital Queen Elizabeth, Hospital Sandakan, Hospital Tawau dan Hospital Labuan dalam masa terdekat.

Setakat 5 Oktober 2020, KKM masih mempunyai RTK-Antigen sebanyak 203,704 ujian, dengan jumlah semasa penggunaan sebanyak 3,000 ujian sehari. Pada hari ini, sebanyak 15,000 RTK-Ag telah selamat dihantar ke Negeri Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri tersebut. Usaha ini adalah kerjasama di antara KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Mercy Flight.

(Visited 4 times, 1 visits today)

COMMENTS