Kes rogol: Perbicaraan bekas Exco Perak dipindah ke Mahkamah Tinggi
Kes rogol: Perbicaraan bekas Exco Perak dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes rogol: Perbicaraan bekas Exco Perak dipindah ke Mahkamah Tinggi

Perbicaraan kes rogol terhadap bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong melibatkan seorang warga Indonesia telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan oleh Adun Tronoh itu agar kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat. Panel hakim lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh dan Mary Lim Thiam Suan.

Terdahulu, perbicaraan terhadap Adun Yong di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.

Disebabkan penangguhan itu, mangsa yang merupakan saksi utama dilaporkan menunggu selama setahun dalam kes yang diikuti rapat di Malaysia dan Indonesia ini.

Pada 23 Ogos tahun lepas, di Mahkamah Sesyen, Yong yang merupakan bekas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol pembantu rumahnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman miliknya di Meru Desa Park, Ipoh antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Sumber: Malaysiakini

(Visited 3 times, 1 visits today)

COMMENTS