Ketidaktentuan politik punca ekonomi Malaysia perlahan
Ketidaktentuan politik punca ekonomi Malaysia perlahan

Ketidaktentuan politik punca ekonomi Malaysia perlahan

Politik Malaysia dijangka memperlahankan pertumbuhan ekonomi untuk dekad akan datang, menurut Firma penyelidikan perniagaan Fitch Solution.

Ditambah pula dengan pertambahan populasi yang lebih perlahan dan pengurangan ruang fiskal untuk mengurangkan impak kejutan ekonomi negatif di masa depan, Fitch meramalkan pertumbuhan KDNK sebenar untuk 10 tahun seterusnya pada kadar 3.4 peratus, berbanding 6.4 peratus sepanjang dekad lalu.

Dalam laporan yang diedarkan hari ini, Fitch berkata antara isu politik yang akan memberi kesan terhadap ekonomi negara adalah perubahan kuasa dengan Malaysia keluar dari era pemerintahan satu parti.

“Kami menjangka kuasa akan sering bertukar tangan, membawa kepada kesinambungan dasar yang boleh dipersoalkan dan terhentinya memontum pembaharuan,” katanya sambil membangkitkan peralihan kuasa Februari lalu sebagai bukti bahawa pergolakan boleh berlaku.

“Walaupun peralihan yang berjaya ke arah sistem dua parti atau pelbagai parti yang lebih berjaya membawa bersama demokrasi yang lebih matang pasti akan tetap menguntungkan Malaysia, ketidaktentuan sementara mungkin menjadi faktor negatif yang diambil kira pelabur berpotensi,” katanya dipetik.

Katanya, ia akan meletakkan Malaysia dalam keadaan kurang baik dalam soal menarik pelaburan langsung asing dari kalangan negara yang ingin beralih dari China.

Sementara itu, Fitch meramalkan ahli politik akan menggunakan pendekatan-pendekatan populis demi meraih sokongan.

“(Ini) boleh memburukkan persekitaran niaga kerana lebih banyak pendekatan perlindungan (protectionist) akan dilaksanakan,” katanya.

Firma itu memetik dasar PH untuk menaikkan gaji minimum, denda untuk pengambilan pekerja asing, dan subsidi untuk pengambilan tenaga kerja tempatan sebagai contoh.

Ia berkata peralihan sokongan ahli politik boleh menyebabkan peningkatan semula amalan rasuah dan korupsi selain naungan politik.

“Dengan mengambil kira latar ini, pembaharuan utama yang boleh membuka potensi pertumbuhan di Malaysia mungkin tertangguh.

“Contoh utama adalah dasar afirmatif yang berpihak kepada masyarakat Melayu, yang kemungkinan besar diteruskan, akan menyebabkan ‘brain drain’ di mana masyarakat bukan Melayu yang berbakat mencari peluang di luar negara,” katanya.

Firma itu turut membangkitkan apa yang disifatkan sebagai “padang tidak sama rata” dalam soal pemerolehan kerajaan sebagai turut menjadi masalah.

“Dasar berdasarkan kaum ini sukar dikendalikan dan akan memperlahankan pembangunan ekonomi untuk masa akan datang,” katanya lagi.

Sementara itu, Fitch juga meramalkan kadar purata untuk pertumbuhan penduduk bagi dekad seterusnya adalah satu peratus, berbanding 2.3 peratus pada 10 tahun terakhir.

Ia juga akan menyebabkan pertumbuhan KDNK sebenar yang lebih perlahan.

Selain itu, menurut firma itu, kerajaan juga mempunyai ruang fiskal yang lebih kecil untuk dikemudi jika berlakunya kejutan ekonomi negatif yang seterusnya.

Ia diburukkan lagi dengan peningkatan hutang negara, termasuk hutang dijamin kerajaan, katanya.

“Selain itu, langkah populis mungkin termasuk pemberian tunai secara kerap pada tahun-tahun mendatang, yang akan terus mengehadkan sumber untuk menyokong ekonomi di saat yang lebih mencabar,” katanya lagi.

(Visited 27 times, 1 visits today)

COMMENTS