Ketua polis maut kena taji ayam
Ketua polis maut kena taji ayam

Ketua polis maut kena taji ayam

KETUA polis bandar San Jose, Filipina maut ketika melakukan satu serbuan ke atas sebuah sindiket judi ayam sabung selepas pisau taji salah seekor ayam terbabit tertusuk arteri femoralnya.

Lapor media tempatan, insiden ngeri tersebut berlaku di wilayah Samar Utara apabila mangsa, Leftenan Christian Bolok sedang mengangkat seekor ayam sabung untuk mengumpul bahan bukti di tempat kejadian.

Ketua Polis Wilayah Kolonel Arnel Apud dilaporkan berkata pisau taji itu terkena paha kiri Bolok dan dia mengalami pendarahan sehingga menyebabkan kematian.
“Ia satu insiden yang malang dan saya tiada kata-kata untuk menjelaskan nasib buruk ini.

“Saya tidak dapat percaya apabila menerima laporan mengenai insiden itu.
“Sepanjang tempoh 25 tahun saya berkhidmat, ini merupakan kali pertama insiden sebegini terjadi dan saya kehilangan seorang pegawai disebabkan pisau taji ayam,” kata Apud.

Tiga suspek ditahan manakala dua ekor ayam sabung bersama dua set pisau taji dirampas dalam serbuan di bandar San Jose itu. Aktiviti sabung ayam merupakan sukan yang popular di kepulauan itu dengan pertaruhan wang dijadikan sebagai habuan.

Susulan penularan pandemik COVID-19, sukan itu bersama-sama beberapa sukan dan acara kebudayaan yang lain diharamkan. Ia bagi mengelakkan orang ramai daripada berkumpul di satu tempat dan menyebarkan wabak berkenaan.

 

(Visited 96 times, 1 visits today)

COMMENTS