KFA berjaga-jaga elak jadi mangsa ‘scammer’

KFA berjaga-jaga elak jadi mangsa ‘scammer’

Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi mangsa penipuan atau ‘scammer’ pihak tertentu dalam urusan menentukan sebarang pembelian saham milik syarikat Darulaman FC (DFC) yang ditubuhkan bulan lalu.

Menurut sumber, pihaknya sedar akan risiko yang mungkin akan dihadapi syarikat berkenaan apabila mula membuka peluang untuk mendapatkan rakan kongsi baharu bagi mengukuhkan lagi kewangan syarikat.

“Insya-Allah kami akan sentiasa berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada mengelak daripada sebarang penipuan termasuk ‘scammer’ yang boleh merugikan pasukan.

“Kami tidak sewenang-wenangnya akan meluluskan sebarang cadangan secara bulat-bulat daripada mana-mana pihak yang ingin menjadi rakan kongsi sebelum meneliti dan menilai rekod serta corak perniagaan rakan kongsi baharu itu terlebih dahulu.

“Kami juga akan merujuk dengan banyak pihak termasuk juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengenal pasti terlebih dahulu sekiranya terdapat laporan negatif yang boleh memberi risiko terhadap pelaburan yang mahu dilakukan kelak, kerana ini melibatkan nama dan maruah pasukan Kedah,” katanya.

Persoalan kerisauan ini timbul selepas tular di laman sosial wajah bekas pemilik dan penaja utama lima kelab yang ditutup di tengah jalan dilihat bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor ketika aksi Liga Super menentang Perak hujung minggu lalu.

“Jadi saya meminta semua penyokong supaya bertenang dan tidak perlu risau kerana proses pemilikan saham yang akan dilakukan nanti akan dibuat secara teliti, telus dan mengikut pandangan pelbagai aspek.

“Kami faham ramai penyokong turut menyeru supaya kami lebih berhati-hati dalam berurusan kerana khuatir Kedah menjadi mangsa ‘scam’ berikutan KFA ketika ini sedang giat berusaha mencari pelabur atau penaja bagi meringankan beban kewangan pasukan.

“Kami ucapkan terima kasih diatas segala sokongan dan kesetiaan yang diberikan semua pihak selama ini yang sayangkan bola sepak Kedah,” katanya.

Berita penuh : HMetro

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )