Khidmat sanitasi percuma untuk penduduk Dun Pengkalan Kundor

Khidmat sanitasi percuma untuk penduduk Dun Pengkalan Kundor

Jika ada salah seorang ahli keluarga anda didapati positif Covid-19, pasti ianya akan menyebabkan trauma kepada ahli keluarga yang lain. Meskipun telah dikuarantinkan, sudah tentunya ahli keluarga akan berasa bimbang untuk menggunakan atau menyentuh barangan di dalam rumah, lebih-lebih lagi objek seperti tombol pintu dan tingkap, pili air dan sebagainya, dibimbangi telah dijangkiti dari ahli keluarga yang positif tadi.

Justeru bagi meredakan kebimbangan itu, Pusat Khidmat Rakyat Dun Pengkalan Kundor menawarkan khidmat untuk proses sanitasi rumah kepada penduduk di Dun itu, khusus bagi mereka yang dikuarantinkan.

Petugas Pusat Khidmat Rakyat Dun Pengkalan Kundor sedang menjalankan kerja sanitasi rumah penduduk

Menurut Adun Pengkalan Kundor, Dato’ Dr Ismail Salleh, program itu bertujuan membantu rakyat di dun berkenaan untuk mencegah penularan wabak itu daripada menjangkiti ahli keluarga yang lain.

“Kita memahami keluh kesah rakyat, kebimbangan mereka apabila ada ahli keluarga yang dijangkiti. Ini juga adalah satu usaha kami di Dun Pengkalan Kundor untuk memastikan kawasan dalam rumah tersebut bersih daripada virus Covid-19. Semoga usaha ini dapat membantu mencegah penularan wabak dan kehidupan rakyat dapat kembali seperti normal,”

Dato’ Dr Ismail Salleh turun padang bersama petugas pusat khidmat beliau, menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang dikuarantinkan

Tambah beliau lagi, individu atau keluarga yang dikuarantin juga akan dibantu dengan bekalan makanan mentah bagi mengurangkan beban mereka. Bagi yang ingin mendapatkan khidmat sanitasi percuma ini, boleh menghubungi Pusat Khidmat Rakyat ADUN Pengkalan Kundor di talian 011-1649 8747 atau 019-541 6670.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )