Kluster Benteng LD terus catat peningkatan
Kluster Benteng LD terus catat peningkatan

Kluster Benteng LD terus catat peningkatan

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 6 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat enam (6) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanbyak 9,397 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 154 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada enam (6) kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) bukan warganegara. Tiga (3) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Indonesia (2 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  • Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Tiga (3) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia. Perincian kes adalah seperti berikut:

  • Sabah: Dua (2) kes daripada Kluster Benteng LD. Kluster ini akan diperincikan di bawah; dan
  • Pulau Pinang: Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dikesan di sebuah pusat perubatan dan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga (3) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI BAGI KLUSTER BENTENG LD

Ingin dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua (2) kes baharu (kes ke-9395 dan kes ke-9396) dilaporkan bagi Kluster Benteng LD di negeri Sabah. Kes ke-9395 merupakan kontak rapat kepada kes ke-9351. Kes bergejala pada 1 September dan dimasukkan ke Hospital Tawau pada 2 September 2020. Beliau dikesan positif dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi untuk mendapat rawatan lanjut. Bagi kes ke-9396, beliau merupakan anak saudara kepada kes ke-9395. Kes dikesan positif pada 5 September 2020 dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Sehingga 6 September 2020, seramai 776 orang telah disaring dalam kluster ini. Dua (2) kes baharu dilaporkan dalam kluster Benteng LD pada hari ini dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 adalah sebanyak 16 kes. Pecahan saringan mengikut daerah yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Lahad Datu (420 disaring):
    • 7 kes dikesan positif COVID-19;
    • 259 individu negatif; dan
    • 154 individu masih menunggu keputusan.
  2. Tawau (356 disaring):
    • 9 kes dikesan positif COVID-19;
    • 67 individu negatif; dan
    • 280 individu masih menunggu keputusan.

Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA SEMUA PETUGAS BARISAN HADAPAN

Anggota-anggota barisan hadapan sama ada dalam sektor kesihatan atau keselamatan harus sentiasa berwaspada terhadap apa juga cabaran dalam mencegah penularan penyakit berjangkit tanpa mengira individu, tempat dan masa. Garis panduan dan tatacara yang ditetapkan hendaklah sentiasa dipatuhi sama ada semasa menguruskan kes positif COVID-19 secara langsung atau tidak langsung. Ini termasuk kerap mencuci tangan, pemakaian pelitup muka, Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian dan penjarakan fizikal iaitu termasuk juga di tempat guna sama. Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan perlu dipatuhi sepanjang masa.

Sejak bermulanya PKP Fasa Pemulihan ini, tanggungjawab sebagai barisan hadapan bukan sahaja terletak kepada anggota kesihatan, malah ianya menjadi tanggungjawab orang ramai, komuniti, dan semua individu. Oleh itu, kejayaan negara dalam menangani pandemik COVID-19 pasca gelombang kedua ini terletak kepada kepatuhan anggota-anggota kesihatan dan keselamatan kepada garis panduan dan tatacara, serta rakyat mematuhi SOP yang dikeluarkan. Hanya dengan kepatuhan ini dapat kita mengekalkan keselamatan negara dari ancaman COVID-19.

Sumber: KP Kesihatan Malaysia

(Visited 6 times, 1 visits today)

COMMENTS