Covid -19 serang Kubang Pasu, Kluster Sivagangga punca 73 tabika, tiga taska Kemas di tutup

Covid -19 serang Kubang Pasu, Kluster Sivagangga punca 73 tabika, tiga taska Kemas di tutup

ALOR SETAR, 29 Julai – Sebanyak 73 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan tiga taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam Parlimen Kubang Pasu ditutup hari ini berikutan penularan kes COVID-19 di daerah itu melibatkan kluster Sivagangga.

Pengarah Kemas negeri, Noor Azman Abd Rahman berkata arahan penutupan itu adalah sebagai langkah awal di peringkat jabatan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Seramai 1,605 murid tabika dan 62 murid taska Kemas terlibat dalam penutupan selama 14 hari atau sehingga kita menerima arahan dan nasihat daripada Pejabat Kesihatan. Hari ini, ibu bapa semua murid tabika dan taska telah diarah untuk membawa pulang anak masing-masing.

“Penutupan sementara ini juga bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman dilakukan di semua tabika dan taska dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noor Azman berkata antara tabika yang dipercayai mempunyai rekod kontak rapat dengan kluster berkenaan adalah Tabika Kemas Kampung Natoi, Tabika Pekan Jitra, Tabika Kampung Bemban dan Tabika Kampung Tebing.

“Kontak rapat ini melibatkan waris kepada murid yang dipercayai telah ke kedai makan di Napoh. Tabika Kampung Tebing ini pula terletak hanya kira-kira 500 meter dari kedai makan tersebut,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baharu dikenal pasti di Kedah iaitu kluster Sivagangga yang melibatkan seorang pemilik kedai makan, seorang ahli keluarganya dan empat pekerja kedai.

Berita Penuh : BERNAMA

 

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )