Kluster Tawar dan Kluster Telaga terus catat pertambahan kes
Kluster Tawar dan Kluster Telaga terus catat pertambahan kes

Kluster Tawar dan Kluster Telaga terus catat pertambahan kes

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 31 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat enam (6) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,340 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 159 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada enam (6) kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan negara Singapura iaitu dua (2) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara. Empat (4) kes import ini telah dilaporkan di negeri Selangor.

Dua (2) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia dari negeri Kedah iaitu satu (1) kes daripada Kluster Tawar dan satu (1) kes daripada Kluster Telaga.

Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 127 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-127 (kes ke-9124) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 13 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos 2020 setelah didapati positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 jam 10.35 malam.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

KLUSTER BUNGA

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu yang terpencil (isolated) telah dikenalpasti melibatkan kakitangan yang bertugas dalam sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kapal yang terlibat ini mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura. Seramai 34 orang krew kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos 2020 bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal. Daripada jumlah ini:

  • Empat (4) kes dikesan positif COVID-19;
  • Enam (6) individu adalah negatif; dan
  • 24 individu masih menunggu keputusan.

Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan dua orang warganegara Malaysia dan dua (2) orang bukan warganegara. Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor. Setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

STATUS TERKINI KLUSTER TAWAR DAN KLUSTER TELAGA

KKM ingin memaklumkan pertambahan kes dalam Kluster Tawar dan Kluster Telaga. Pertambahan kes kedua-dua kluster ini melibatkan negeri Kedah.

  1. Kluster Tawar

Terdapat satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 74 kes. Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 16,462 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kedah (15,917 disaring):
    • 63 kes dikesan positif COVID-19;
    • 12, 597 individu negatif; dan
    • 3,257 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (534 disaring):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19; dan
    • 523 individu negatif.
  3. Perak: Kekal 11 saringan, di mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu.

Daripada jumlah saringan di negeri Kedah (iaitu 15,917 orang), 12,553 orang adalah dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran yang membabitkan tiga (3) zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya. Setakat ini tiada kes baharu dilaporkan dalam zon-zon tersebut. Sebanyak 8,084 dilaporkan negatif COVID-19 dan 4,469 masih menunggu keputusan ujian makmal.

  • Kluster Telaga

Terdapat satu (1) kes baharu (kes ke-9340) dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah. Kluster ini mula dilaporkan pada 30 Ogos 2020 dengan dua (2) kes positif melibatkan kakitangan hospital (kes ke-9284 iaitu kes indeks dan kes ke-9334). Namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat dua (2) lagi kes positif COVID-19 yang telah dilaporkan sebelum ini (kes ke-9306 dan kes ke-9291) didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak lima (5) kes. Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 735 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • Lima (5) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 730 individu negatif.

Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini.

 

Sumber: KP Kesihatan Malaysia

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS