Kolam air Gunung Inas dilihat tidak mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk - Sanusi
Kolam air Gunung Inas  dilihat tidak mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk – Sanusi

Kolam air Gunung Inas dilihat tidak mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk – Sanusi

Alor Setar: Tiga kolam takungan air seluas gelanggang futsal di puncak Gunung Inas, Baling, tidak perlu dirobohkan kerana dilihat tidak mampu mendatangkan bahaya kepada penduduk.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan laporan dikeluarkan Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling, kolam terbabit didapati bukan menjadi punca kepada masalah banjir lumpur dan aliran puing pada 4 Julai lalu.

Malah katanya, kajian dibuat pakar yang dikumpulkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) mendapati kapasiti air tiga kolam berkenaan jika pecah, juga tidak mampu sampai ke kawasan penempatan di kaki Gunung Inas.

“Kolam itu ada pemilik, tak boleh senang-senang dimusnahkan. Kena baca laporan yang dibuat KetSA yang ada ratusan pakar di dalam jawatankuasanya.

“Kolam itu bukan menjadi punca kejadian banjir dan kata pakar geologi, jika tiga kolam itu pecah serentak tanpa hujan, air kolam itu juga tak akan sampai ke bawah kerana tak cukup kapasiti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Mamografi Digital di Pusat Perubatan Kedah (KMC).

Semalam, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan, tiga kolam takungan air di puncak Gunung Inas yang dikaitkan dengan kejadian bencana banjir lumpur dan aliran puing akan dimusnahkan kerana didapati membahayakan penduduk sekitar.

Beliau berkata, perkara itu sudah dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk yang masih ketakutan kerana bimbang kejadian terbabit akan berulang.

Tiga kolam berkenaan sebelum ini, dibina syarikat swasta yang terbabit mengusahakan ladang durian Musang King dan ia digunakan sebagai tempat takungan air diguna bagi menyiram pokok durian di puncak Gunung Inas.

Bagaimanapun berdasarkan tinjauan, tiga kolam berkenaan didapati dibina tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan dan hanya menggunakan kanvas sebagai pelapik menyebabkan penduduk bimbang sekiranya takungan itu pecah.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Abdul Azeez sepatutnya tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dikeluarkan ramai pihak berkaitan kejadian di Gunung Inas termasuk mendakwa kolam terbabit sebagai punca utama.

“Azeez Rahim jangan terperangkap dengan sentimen yang dimainkan orang tidak berilmu dan yang tidak membaca laporan penuh berkaitan kejadian yang dikeluarkan KetSA.

“Sebagai pemimpin, beliau sepatutnya merujuk laporan itu dan melihat pandangan pakar sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, seramai tiga nyawa penduduk Kampung Iboi terkorban dan lebih 1,000 rumah sekitar Kupang terjejas akibat banjir lumpur dan aliran puing yang turut meranapkan 18 rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

(Visited 171 times, 1 visits today)

COMMENTS