Kompaun RM10K bukan bagi semua kesalahan langgar SOP – KPN

Kompaun RM10K bukan bagi semua kesalahan langgar SOP – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan, kompaun RM10,000 yang berkuatkuasa 11 Mac ini hanya dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan berulang dan kesalahan yang boleh mencetuskan penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, polis akan mengeluarkan tawaran kompaun berkenaan berdasarkan rekod yang mereka ada.

“Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Namun ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan termasuk gagal memakai pelitup muka.

“Sebaliknya, untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan COVID-19.

“Namun, individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 sahaja selepas rayuan dan alasan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang baharu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya hanya terbabit dalam penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun dan polis tidak boleh menerima bayaran kompaun.

Media sebelum ini melaporkan, Pejabat Peguam Negara memaklumkan, orang ramai yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan kompaun sehingga RM10,000 berkuatkuasa 11 Mac.

Kompaun sebanyak RM50,000 turut akan dikenakan bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan yang sama.

Perkara itu sudah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021. -BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )