Konsep disebalik jeriji besi membawa kelainan...
Konsep disebalik jeriji besi membawa kelainan…

Konsep disebalik jeriji besi membawa kelainan…

SELAIN Pulau Pinang, negeri Melaka juga cukup terkenal sebagai salah satu syurga makanan di negara ini.

Menariknya di bandar bersejarah itu, banyak bangunan lama telah diubah suai menjadi medan niaga.

Paling mencuri tumpuan dan tular di media sosial ialah Muzium Penjara Malaysia yang sebelum ini merupakan Penjara Banda Hilir.

Muzium yang berusia 160 tahun itu telah ditransformasikan menjadi sebuah premis makanan yang diberi nama sebagai Kopi Jail.

Diusahakan oleh dua bersaudara iaitu Anas Al-Afiq Azhar bersama sepupunya, Nur Aimi Irfan Nor Azian, minuman kopi yang ditawarkan juga memiliki nama-nama yang mempunyai kaitan dengan sebuah jel.

Antaranya seperti Kopi Reman, Kopi Gantung, Kopi Sebatan, Kopi Seumur Hidup dan Kopi Sepanjang Hayat.

Kepada SinarPlus, Anas Al-Afiq berkata, selera orang Malaysia yang sukakan kelainan mendorongnya untuk mewujudkan kafe santai dengan ‘suasana penjara.’

“Alhamdulillah, tapak galeri berjaya diubah suai menjadi sebahagian ruang kafe yang dibuka sejak Februari lalu telah menerima sambutan cukup memberangsangkan selepas tular di laman sosial.

“Rasanya belum ada lagi kafe bertemakan konsep di sebalik jeriji besi, jadi peluang keemasan ini kami rebut sepenuhnya,” katanya yang berterima kasih kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi kerjasama yang baik dalam mentransisi sebuah jel.

Pun demikian, kata Anas Al-Afiq yang bertindak sebagai Pengurus Kopi Jail, pada awalnya, ramai yang takut-takut untuk datang kerana beranggapan premis tersebut diusahakan bekas banduan.

“Ingin ditegaskan sekali lagi, kami bukannya bekas banduan, cuma mahu membawa kelainan buat peminat kopi yang berkunjung ke muzium ini,” katanya.

Selain hidangan kopi istimewa, kata usahawan berusia 24 tahun itu, Kafe Jail turut menawarkan kudap-kudapan, aiskrim 1Malaysia termasuk pelbagai sajian lain seperti nasi lemak, nasi kerabu, mihun goreng dan spageti bolognese.

“Sambil makan dan minum, pengunjung juga boleh mengambil kesempatan untuk melihat dengan lebih dekat suasana bilik menunggu dan coretan terakhir pesalah yang menjalani hukuman gantung sampai mati.

“Selain itu, hasil kraftangan seperti bakul rotan, labu sayung dan pastri yang dibuat sendiri oleh penghuni Sekolah Henry Gurney dan banduan di lebih 10 penjara turut boleh dibeli di sini,” ujarnya.

Kopi Jail

Alamat: Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir, Melaka

Waktu operasi: 9 pagi hingga 5 petang (Selasa hingga Ahad)

Menu signatur: Kopi Jail, Kopi Sebatan dan Kopi Reman

Harga: Bermula RM8 hingga RM16

Facebook: Kopijail_

Instagram: @kopijail_

Kopi Jail yang terletak di Muzium Penjara Malaysia di Banda Hilir, Melaka berjaya menarik perhatian ramai sekelip mata.

Mana tidaknya, bekas sebuah penjara bertukar menjadi premis makanan.

Bukan sahaja kafe yang diusahakan dua pemuda bersaudara itu menjadi sebutan di media sosial, SinarPlus mendapati terdapat beberapa lagi premis yang memiliki idea menarik demi menambat hati peminat kopi.

(Visited 23 times, 1 visits today)

COMMENTS