Kontena Jenazah: Bukan masa untuk berjenaka – Dato’ Phahrolrazi

Kontena Jenazah: Bukan masa untuk berjenaka – Dato’ Phahrolrazi

Menyorot ulasan Menteri Besar Kedah kelmarin 6 Ogos di Sungai Petani yang menyentuh secara gurauan isu kontena yang menempatkan jenazah Covid-19 menimbulkan kemarahan dan kekesalan orang ramai seperti luahan rakyat dan netizen di media sosial.

Di saat seluruh rakyat sedang bersedih dengan jumlah kematian yang sudah melebihi 10,000 orang dan jumlah kematian harian mencanak naik mencecah lebih 250 orang , kenyataan MB Kedah itu sangat tidak wajar dan menampakkan tidak sensitif kepada keluarga yang kematian ahli keluarga.

Di Kedah sahaja kes jangkitan harian melebihi 1200 orang, jumlah kes aktif melebihi 16,000 orang yakni dalam rawatan dan kematian harian mencecah lebih 30 orang. Katil-katil di hospital hampir penuh dan rumah mayat hospital memerlukan kontena tambahan untuk menampung bilangan kematian yang terus bertambah.

Harapan besar kita untuk mengawal musibah Covid-19 terutama varian baru, Delta yang lebih ganas ini ialah menggesa semua rakyat mematuhi SOP dan meningkatkan kadar vaksinasi ke tahap yang optimum. Di samping ikhtiar ini, kita hendaklah terus berdoa supaya Allah memutuskan musibah Covid-19 ini.

Umpama jatuh ditimpa tangga, ekonomi rakyat juga turut terkesan dengan tindakan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan covid 19. Tempoh satu setengah tahun PKP menyebabkan ekonomi merudum dimana banyak perniagaan ditutup dan ramai rakyat hilang pendapatan dan pekerjaan.

Walau pun pelbagai inisiatif kerajaan dan pelbagai pihak membantu rakyat tetapi belum cukup untuk mengatasi kesan ekonomi ini. Sebagai contoh pemberian bantuan bakul makanan dan wang tunai yang sudah beberapa kali diterima tidak dapat menyelesaikan masaalah mereka yang hilang pendapatan bagi tempoh PKP yang lama ini. Seterusnya masalah sosial turut muncul seperti jenayah mencuri, keganasan rumah tangga dan membunuh diri dan lain-lain.

Kita berharap semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, NGO-NGO dan orang-orang perseorangan mengikut keupayaan masing-masing, berganding bahu membantu menangani bencana besar pandemik covid 19 ini.

Akhir sekali, nasihat saya kepada YAB Menteri Besar Kedah, sebagai pemimpin, usahlah lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengguris hati rakyat, walaupun atas niat gurauan kerana pandemik yang dahsyat ini telah menelan puluhan ribu nyawa, sesuatu yang tidak masuk akal untuk dijadikan bahan ketawa!

Dato’ Hj Phahrolrazi bin Mohd Zawawi
Pengerusi
Parti Amanah Negara
Negeri Kedah

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )