Kos untuk laksanakan Haji naik lagi!
Kos untuk laksanakan Haji naik lagi!

Kos untuk laksanakan Haji naik lagi!

Kuala Lumpur: Kos untuk jemaah muassasah menunaikan haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25000,kata lembaga Tabung haji dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut Tabung Haji,kenaikan kos itu disebabkan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan hari ini oleh Kerajaan Arab Saudi.

Sebagai perbandingan,jelas Tabung Haji,kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada tahun 2019 ialah RM22,900.

“Peningkatan 12 peratus ini mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai (Value Addex Tax) yang telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan beberapa lagi caj perkhidmatan tambahan.

“Ini tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan SOP (prosedur operasi standard) baharu yang akan dilaksanakan pada tahun ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Menerangkan lebih lanjut, Tabung Haji berkata, kos haji adalah kos langsung yang dibayar bagi mendapatkan perkhidmatan untuk menunaikan ibadat haji seperti kos penerbangan dan penginapan yang merangkumi kira-kira 70 peratus daripada kos keseluruhan.

Kos-kos lain, katanya lagi, termasuk sajian makanan, pengangkutan bas, khemah di Arafah dan Mina serta perkhidmatan Mutawif selama 40 hingga 45 hari.

Tabung Haji berkata, hampir kesemua perkhidmatan itu disediakan di Arab Saudi dan terkesan dengan kenaikan Cukai Tambah Nilai dan kadar inflasi di sana.

Selain dari kos-kos langsung, TH berkata, ia turut menanggung sepenuhnya kos tidak langsung yang meliputi kursus-kursus persediaan haji, penerbitan buku panduan, perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan petugas-petugas haji, dengan jumlah kos tidak langsung itu sahaja mencecah RM60 juta setiap tahun.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, kos haji yang meningkat saban tahun disebabkan faktor inflasi di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan cukai baharu, penambahbaikan perkhidmatan serta pembangunan di Mekah dan Madinah.

“Tabung Haji menjangkakan kos ini akan terus meningkat pada masa hadapan. Namun, setakat ini Tabung Haji masih meneruskan bantuan kewangan haji kepada semua jemaah Muassasah yang mengerjakan haji buat kali pertama.

“Tabung Haji telah mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun yang lalu walaupun kos untuk menunaikan haji telah meningkat setiap tahun.

“Dalam tempoh 2001 sehingga 2019, bayaran haji telah meningkat 16 peratus manakala kos haji pula telah melonjak sebanyak 139 peratus disebabkan faktor luar kawalan Tabung Haji.

“Rekod Tabung Haji menunjukkan RM2 bilion telah diberikan kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan haji sejak 2001,” katanya lagi.

Biarpun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020, namun, Tabung Haji tetap meneruskan persiapan dengan mengambil kira situasi semasa dan perkembangan di Arab Saudi.

Selain itu, Tabung Haji berkata, bakal jemaah juga harus membuat persediaan awal dari segi kesihatan dan perbelanjaan haji.

“Pada ketika ini, kerajaan Arab Saudi masih belum membuat pengumuman rasmi berkenaan ibadat haji bagi Musim 1443H/2022M,” menurut kenyataan itu lagi.

 

Baca Juga:

Gempar!! 4 Punca ini RUU Anti Lompat Parti ditangguh

Melambatkan RUU Anti Lompat Parti seperti ada Gunting dalam lipatan – Zahid Hamidi

Kerajaan tidak akan bentang RUU anti lompat parti Isnin nanti

(Visited 51 times, 1 visits today)

COMMENTS