Kota Setar lengang susulan perlaksanaan PKPD
Kota Setar lengang susulan perlaksanaan PKPD

Kota Setar lengang susulan perlaksanaan PKPD

Walaupun dianggarkan terdapat lebih 360,000 penduduk yang mendiami 28 mukim di Kota Setar, daerah itu nampak lengang sejak Jumaat lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Tinjauan Bernama mendapati hanya beberapa premis perniagaan sahaja yang beroperasi seperti biasa manakala jumlah kenderaan yang dilihat di pusat bandar berkurangan berikutan ramai penduduk memilih untuk mematuhi arahan dengan duduk di rumah masing-masing.

Ia jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini, yang mana daerah ini sentiasa sibuk dengan jumlah kenderaan yang banyak terutama pada hari bekerja.

Seorang penduduk Muhammad Akmal Hakim Roseli, 30, yang menetap di Taman Nuri dekat Jalan Datuk Kumbar berkata beliau melihat keadaan PKPD secara pentadbiran ini tidak jauh berbeza dengan keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan Mac lepas.

“Buat masa ini, semuanya dalam keadaan baik sahaja. Barang keperluan di kedai-kedai runcit juga mencukupi dan setakat ini bekalan tidak terputus, jadi penduduk di kawasan ini memang tidak bimbang dan mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Restoran dan kedai makan juga beroperasi seperti biasa tetapi hanya membenarkan kaedah ‘take away’ (bungkus) dan hanya boleh beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja. Keadaan jalan raya juga dilihat lenggang kerana ramai yang bimbang untuk keluar rumah,” katanya kepada Bernama di Alor Setar, hari ini.

Mashitah Abu Bakar, 60, yang menetap di Kota Sarang Semut pula berkata walaupun agak terkejut dengan pelaksanaan PKPD ini, dia sekeluarga menerima dengan hati yang terbuka kerana ia dilaksanakan dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan di daerah itu.

“Bila dapat tahu PKPD bakal dilaksanakan, memang risau tetapi ini untuk kebaikan semua. Keadaan di sini semuanya baik dan barang keperluan juga mencukupi dan setakat ini tiada pembelian panik dilakukan oleh penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Nor Azman Mohd Noor yang dihubungi Bernama berkata sekatan jalan raya (SJR) di sembilan lokasi di daerah itu berjalan lancar dan rata-rata penduduk memberi kerjasama yang baik kepada anggota yang bertugas.

“Ada beberapa laluan tikus yang dikenal pasti telah ditutup bagi mengelak penduduk keluar dan masuk. Kerjasama dari penduduk di daerah Kota Setar juga baik, bagaimanapun 24 kompaun telah dikeluarkan sehingga semalam kepada individu yang ingkar arahan,” katanya.

– Bernama

(Visited 6 times, 1 visits today)

COMMENTS