Ku Li buat gabungan baru hadapi Pas tawan Kelantan?
Ku Li buat gabungan baru hadapi Pas tawan Kelantan?

Ku Li buat gabungan baru hadapi Pas tawan Kelantan?

Satu pertemuan antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan telah menimbulkan tanda tanya, adakah satu strategi baru sedang disusun untuk merampas Kelantan dari Pas.

Perbincangan antara Tengku Razaleigh atau Ku Li dengan pimpinan Amanah yang diketuai Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Hussin itu diadakan di Kota Bharu.

Majlis berbuka puasa dianjurkan untuk membayangi perbincangan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan Tengku Razaleigh.

Selain Muhammad Hussin, turut hadir dalam acara itu ialah bekas pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah, Ketua Pemuda Amanah negeri, Hazmi Hassan dan barisan anggota jawatankuasa Amanah negeri.

Untuk rekod, Pas berjaya menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum tahun 1990 selepas bekerjasama dengan Parti Semangat 46 yang dipimpin Tengku Razaleigh.

Malaysiakini melaporkan, Tengku Razaleigh bakal membuat pengumuman penting rentas parti selain program bersama rakyat Kelantan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed dalam satu tulisan di Facebook memberi gambaran mengenai perkara itu.

“Insya-Allah di Kelantan satu usaha sedang digerakkan untuk mengabung berbagai parti, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan anak-anak Kelantan yang berkebolehan untuk menawarkan satu kerajaan alternatif kepada rakyat Kelantan selain daripada kerajaan Pas.

“Selebihnya terserah kepada rakyat Kelantan untuk kekal bersama Pas atau memilih tawaran yang dihidangkan sebagai satu percubaan untuk berubah.

“Parti politik hanya satu persaingan untuk menawarkan apa yang terbaik yang boleh dilakukan.

“Agama, perkauman dan pelbagai tawaran hanya perasa dan penghias hidangan yang boleh menyebabkan pengundi terpedaya dan tersilap pilih,” katanya.

KedahKini akan cuba dapat maklumat lanjut pihak berkaitan berkenaan pertemuan dan kerjasama yang dikatakan sedang diusahakan.

(Visited 231 times, 1 visits today)

COMMENTS