Kumpulan terakhir di pusat kuarintin di Kedah, dibenarkan pulang- Pengarah APM Kedah.
Kumpulan terakhir di pusat kuarintin di Kedah, dibenarkan pulang- Pengarah APM Kedah.

Kumpulan terakhir di pusat kuarintin di Kedah, dibenarkan pulang- Pengarah APM Kedah.

ALOR SETAR – Lima pusat kuarantin COVID-19 di Kedah yang dibuka sejak 21 Mac lalu, kini kosong setelah 411 individu yang ditempatkan di situ sebelum ini, selesai menjalani tempoh kuarantin wajib selama 14 hari.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata, kumpulan terakhir 18 individu yang ditempatkan di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar dan Institut Aminuddin Baki (IAB), Jitra dibenarkan pulang hari ini.

“Tiga lagi pusat kuarantin adalah Pusat Latihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (PLAK), Sungai Petani; Pusat Latihan dan Pembangunan Pengembangan Wilayah Utara (PLPP WU) dan Hotel Star City di Alor Setar.

“Mereka yang dikuarantin di kelima-lima lokasi ini datang dari luar Kedah dan diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari bagi memastikan mereka bebas sepenuhnya dari COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Seri Malaysia dekat sini, hari ini.

Awang Askandar berkata, pada petang ini semua agensi terlibat akan bermesyuarat bagi membincangkan persediaan perlu diambil sekiranya terdapat gelombang COVID-19 seterusnya di negeri ini.

“Saya fikir pusat kuarantin di negeri ini tidak akan ditutup sepenuhnya dengan beberapa penempatan sesuai akan dipilih selepas menilai situasi semasa.

“Keadaan dijangkakan akan lebih terkawal dengan jumlah pusat kuarantin yang dibuka juga tidak banyak seperti sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang daripada 18 individu yang dikuarantin, Nur Izyani Johari, 34, memaklumkan, dia bersama suami, Adnan Abd Wahab, 45, serta tujuh anak mereka yang berumur antara satu hingga 13 tahun, ditempatkan di Hotel Seri Malaysia selama 14 hari setelah pulang dari Thailand.

“Kami sekeluarga pulang ke kampung suami di Thailand sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi dan apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin umumkan pelaksanaan PKP, kami tidak boleh pulang kerana pintu sempadan ditutup.

“Setelah dibenarkan pulang, kami menjalani kuarantin wajib di hotel ini. Walaupun tidak bebas bergerak, namun segalanya sempurna di sini di mana aspek makanan, perkhidmatan dan keperluan diri diuruskan dengan baik oleh petugas barisan hadapan,” katanya yang berasal dari Jalan Langgar, dekat sini.

Katanya, dia serta keluarga amat menghargai segala jasa dan bakti dicurahkan petugas barisan hadapan yang memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh kuarantin dilaluinya itu.

(Visited 7 times, 1 visits today)

COMMENTS