Kutipan Zakat fitrah melalui AMIL di setiap kariah bermula 3 mei 2020 - Zakaria Othman.
Kutipan Zakat fitrah melalui AMIL di setiap kariah bermula 3 mei 2020 – Zakaria Othman.

Kutipan Zakat fitrah melalui AMIL di setiap kariah bermula 3 mei 2020 – Zakaria Othman.

ALOR SETAR – Kutipan zakat fitrah melalui amil di setiap kariah di negeri ini akan bermula pada 10 Ramadan 1441H bersamaan 3 Mei 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman berkata, kutipan zakat fitrah tersebut boleh dilakukan di pekarangan masjid kariah masing-masing.

“Tempoh masanya hendaklah dihadkan bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari saja.

“Ketua amil zakat fitrah hendaklah berbincang bersama amil di bawah seliaan masing-masing untuk melaksanakan kaedah terbaik melakukan kutipan tanpa berlaku perhimpunan selain mengamalkan penjarakan sosial,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Zakat di sini, hari ini.

Tambahnya kalangan amil dilarang membuat kutipan di dalam masjid dengan pelaksanaan tanggungjawab itu hanya boleh dibuat di pekarangan masjid saja.

“Ketua amil perlu memastikan hanya dua orang amil saja yang dibenarkan bertugas dalam satu-satu masa di pekarangan masjid.

“Semua amil bertugas hendaklah memakai penutup muka dan hidung dan menggunakan pensanitasi tangan,” ujarnya.

Tambahnya para amil turut dilarang berjabat tangan bersama pembayar zakat ketika melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan hanya akad dan doa saja yang dibenarkan.

“Mereka juga dilarang membuka kaunter kutipan zakat di tempat awam seperti pasar raya atau mana-mana premis mahu pun bangunan yang boleh menyebabkan berlakunya himpunan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, orang ramai turut boleh membuat bayaran menerusi kaunter pandu lalu (Drive thru) di Menara Zakat Alor Setar yang telah pun dibuka bermula semalam dengan waktu operasi antara pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Operasi kaunter di semua pejabat zakat daerah bagi tujuan pembayaran zakat fitrah pula akan dibuka bermula 17 Ramadan 1441H bersamaan 10 Mei 2020 yang mana waktu operasinya juga antara 9 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya.

Di sebalik semua kemudahan itu katanya, orang ramai lebih digalakkan untuk membuat bayaran zakat fitrah secara atas talian, sesuai dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pada tahun ini terdapat empat kadar zakat fitrah di Kedah iaitu RM5 untuk mereka yang memakan beras super tempatan (10-15 peratus hancur); RM7 untuk mereka yang memakan beras super special tempatan (5 peratus hancur); RM14 untuk yang memakan beras super import, beras perang, beras pulut, Herba ponni dan beras wangi; serta RM21 untuk mereka yang memakan beras basmathi, beras jepun dan beras merah.

(Visited 15 times, 1 visits today)

COMMENTS