Lagi pimpinan Bersatu sertai AMANAH
Lagi pimpinan Bersatu sertai AMANAH

Lagi pimpinan Bersatu sertai AMANAH

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Merbok sekali lagi  menerima tamparan hebat apabila ketua bahagian interimnya, Aminudin Bin Yahya hari ini menyerahkan borang keahlian secara rasmi untuk menyertai Parti Amanah Negara. Beliau yang dilantik memangku jawatan itu setelah ketua bahagian terdahulu, Mejar Anuar Abd Hamid meletakkan jawatan dan menyertai parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Aminudin menyerahkan borang keahlian itu kepada Penolong Setiausaha Amanah Kedah, Zahran Afandi dengan disaksikan oleh Setiausaha Amanah Negeri Kedah, YB Asmirul Anuar Aris dalam satu majlis ringkas di Pejabat Amanah Kedah, Stargate pada tengah hari ini.

Beliau yang juga Penyelaras PN Dun Bukit Selambau membuat keputusan menyertai Amanah setelah kecewa dengan pergolakan dalaman Perikatan Nasional terutama apa yang berlaku di Perak yang menyaksikan pengkhianatan Umno terhadap perikatan itu.

Perikatan Nasional juga dikatakan satu gabungan politik yang rapuh yang mana kerjasama itu hanya bertujuan untuk merampas kuasa tanpa mempedulikan kemaslahatan rakyat seluruhnya.

Sementara itu, Setiausaha Amanah Kedah, YB Asmirul Anuar Aris menyifatkan penyertaan Aminudin ke dalam parti itu adalah satu manifestasi terhadap kegagalan kerajaan PN dalam membela nasib rakyat terutama dalam berdepan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid19.

“Kita boleh lihat dalam isu KWSP misalnya, apabila Menteri Kewangan berjanji untuk membenarkan pengeluaran caruman sehingga RM10,000 bagi mereka yang terjejas, namun akhirnya dikenakan syarat-syarat yang ketat pula, ini menimbulkan kemarahan rakyat, yang akhirnya apa yang berlaku hari ini, bukan hanya rakyat bawahan yang terjejas bahkan pemimpin di peringkat pertengahan juga melahirkan kekecewaan terhadap pemerintahan yang bercelaru ini,”

Tambah beliau lagi, Amanah juga terbuka dalam menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti ini demi perjuangan mengangkat agenda rakyat terutama dalam berdepan cabaran memulihkan semula ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid19 serta pengkhianatan politik yang meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat pada PRU14 yang lalu.

(Visited 33 times, 1 visits today)

COMMENTS