Langkawi bakal “bungkus” jika PKP diteruskan, 23 agensi pelancongan gulung tikar

Langkawi bakal “bungkus” jika PKP diteruskan, 23 agensi pelancongan gulung tikar

Sebanyak 23 agensi pelancongan Pulau Langkawi terpaksa menamatkan operasi mereka berikutan keadaan industri yang semakin suram, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir.

Beliau berkata, semua agensi pelancongan itu menutup operasi dengan tidak memperbaharui lesen pengendali pelancongan mereka, ditambah dengan pelaksanaan beberapa siri perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan keadaan lebih teruk.

“Tindakan kerajaan menguatkuasakan larangan rentas negeri sejak Januari lalu turut mengakibatkan kehadiran pelancong merosot dan agensi pelancongan mengalami kerugian,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Zainudin berkata, industri pelancongan di Pulau Langkawi bertambah ‘tenat’ selepas pelaksanaan PKP di lima daerah di Kedah yang berkuat kuasa sejak 1 Mei lalu.

“Sepanjang tempoh larangan rentas negeri berkuat kuasa, sebahagian besar pelancong di pulau ini merupakan penduduk di negeri ini sahaja, namun jumlah pelancong terus merosot selepas lima daerah di negeri ini pula dikenakan perintah PKP,” katanya.

Mengikut rekod, lima daerah terlibat dengan penguatkuasaan PKP itu adalah Alor Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Zainudin berkata, setakat ini sebanyak 113 agensi pelancongan yang masih kekal bertahan walaupun kebanyakannya dalam keadaan ‘tenat’ dan beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak agensi pelancongan akan ‘tutup kedai’ sekiranya PKP dilanjutkan selepas Aidilfitri.

“Keadaan lebih parah sekiranya agensi terbabit tidak mendapat sebarang bantuan kewangan pada sepanjang tempoh pandemik ini, malah semua agensi yang ditutup itu didapati tidak mendapat bantuan berjumlah RM3,000 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” katanya. – FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )