Lantikan politik tambah beban Kedah FA!

Lantikan politik tambah beban Kedah FA!

Mesyuarat kali pertama yang berlangsung semalam menyaksikan beberapa nama dilantik menjawat jawatan di dalam Kedah FA. Antaranya exco kerajaan negeri Kedah, YB Encik Mohd Firdaus Bin Ahmad  dilantik Setiausaha Kehormat KFA, Encik Shahrul Bin Samsudin dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif, 2 Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA yang baru dilantik iaitu Encik Ibrahim Bin Haji Ismail dan Encik Mohd Noor Bin Mohd Amin yang turut dilantik sebagai Bendahari Kehormat KFA yang baharu menggantikan Encik Mohd Ruzaini Bin Md Radzi.

Wartawan KedahKini.com sempat menemuramah beberapa orang penyokong Hijau Kuning tentang beberapa hasil keputusan mesyuarat semalam. Encik Muhammad 45 tahun, yang berasal dari Pendang menyatakan kekesalan di atas apa yang berlaku dalam mesyuarat KFA yang berlangsung semalam. “Depa ni bukan nak selamatkan pasukan Kedah pun, yang depa duk tau, bedak jawatan sesama depa saja”.

“Yang depa lantik Haji Zulkifli tu buat apa, dia tu bekas calon PAS Kota Darulaman. Dulu waktu zaman Ustaz Azizan, dia pernah duk dalam KFA, zaman tu Kedah merudum habis, jatuh pi duk Liga Perdana, orang macam tu ka kita nak bagi duk dalam KFA?”

Turut sama melahirkan kekesalan adalah Encik Faizal 30 tahun berasal dari Alor Setar, merasakan mesyuarat semalam tidak banyak membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu KFA sekarang. Malah lantikan politik yang ramai memberikan lagi tekanan terhadap status kewangan KFA. Katanya, “Haritu presiden kata tak dak duit, sampai gaji lima bulan tak boleh bayar, yang pi duk lantik geng politik ramai-ramai ambik duit mana pula?”

Beliau juga menzahirkan perasaan dukacita di atas apa yang menimpa KFA, ujarnya “Kita nak tengok bola Kedah ni makin mantap, dah kata duit takdak, kenalah cari duit langsaikan dulu semua hutang, ni dak duk lantik geng depa pegang jawatan, awat depa tu takdak gaji ka? Kalau bergaji, berapa pula yang KFA tanggung nak bayar gaji depa bulan-bulan?”.

Rata-rata peminat yang ditemui pada petang ini menzahirkan kekesalan kerana KFA dijadikan seolah-olah “lubuk duit” oleh orang politik. Perlantikan atas dasar menjaga kepentingan ahli politik semata-mata dilihat tidak dapat membantu kemelut kewangan yang dihadapi KFA sekarang.

Para penyokong pasukan Hijau Kuning rata-rata mengharapkan semoga segala kemelut yang melanda pasukan kesayangan mereka itu dapat diselesaikan dengan segera. Tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, mereka mengharapkan pengurusan KFA yang baharu ini bersikap lebih professional dalam pengurusan kelab tanpa menafikan hak para pemain.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )