Layak ke Piala Asia dapat imbuhan, layak ke Piala Dunia dipinggirkan?
Layak ke Piala Asia dapat imbuhan, layak ke Piala Dunia dipinggirkan?

Layak ke Piala Asia dapat imbuhan, layak ke Piala Dunia dipinggirkan?

Kejayaan Harimau Malaya menamatkan kemarau 42 tahun mara ke Piala Asia 2023 secara merit selepas menang ke atas Bangladesh Selasa lalu membanggakan seluruh negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang hadir ke perlawanan itu berkata kerajaan akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai imbuhan serta sambutan keraian buat pasukan negara.

Baca juga: Tular video kelab malam sambut kejayaan ke Piala Asia, Junior tampil beri penjelasan

Memetik laporan Harimau Menurut Ismail Sabri, ianya merupakan pencapaian yang cukup bermakna kerana sudah lama skuad bola sepak negara tidak mencatat sebarang kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah saya akan bincangkan perkara itu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta akan turut berbincang bersama FAM. Ia mengenai keraian atau apa-apa sumbangan yang akan diberikan, kita akan berbincang mengenainya,” katanya.

Bukanlah mahu menafikan usaha para pemain dan jurulatih yang berjuang bermati-matian untuk layak, namun masih terlalu awal rasanya untuk memberi ganjaran buat mereka kerana perjuangan sebenar hanya akan bermula tahun depan.

Buat masa ini, Harimau Malaya boleh dikatakan masih belum menyumbang apa-apa lagi kerana kejohanan itu masih belum bermula.

Sekiranya mereka menampilkan persembahan hambar pada Piala Asia 2023 nanti, pemberian ganjaran itu sudah pasti akan diungkit dan dikecam hebat oleh netizen.

Mungkin apa yang lebih wajar dilakukan ialah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran buat mereka di kejohanan itu, contohnya berjaya melangkah ke suku akhir, dan menjanjikan ganjaran tertentu sekiranya ia berjaya dicapai.

Sekiranya para pemain sering ‘disuap’ dengan imbuhan dan ganjaran hanya kerana mereka berjaya melayakkan diri ke sesuatu kejohanan, ia boleh menyebabkan mereka berasa selesa dan tiada motivasi tambahan untuk berusaha dengan lebih lagi.

Selain itu jika mereka diberikan ganjaran kerana layak ke Piala Asia 2023, ini menunjukkan bahawa ‘layanan emas’ hanya diberikan kepada bola sepak berbanding sukan-sukan lain sehinggakan Perdana Menteri sendiri yang mengumumkan ganjaran untuk skuad bola sepak negara.

Lihat saja pasukan hoki negara yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Januari depan, tetapi tiada apa-apa imbuhan atau ganjaran pun yang dibincangkan untuk mereka sejurus selepas mereka melayakkan diri. Ya, PIALA DUNIA.

Ini sangat berbeza berbanding bola sepak yang diumumkan ganjaran buat mereka dua hari selepas melayakkan diri ke Piala Asia 2023, walhal pasukan hoki negara sudah layak ke Piala Dunia sejak 1 Jun lalu lagi.

Jika Harimau Malaya gagal mara ke Piala Asia 2023 tempoh hari, mungkin kejayaan skuad hoki dilupakan begitu sahaja.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut skuad hoki negara berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia.

Baca Juga: Selepas TMJ, Benjamin Mora pula umum Tinggalkan JDT?

Jika peringkat Asia menjadi ukuran, skuad hoki negara tidak pernah terlepas daripada melayakkan diri ke Piala Asia sejak kali pertama penganjurannya pada 1982, dan merupakan naib johan di dua edisi terakhir.

Ketika mereka berjaya membawa pulang pingat perak Piala Asia baru-baru ini juga, sambutan yang diberikan kepada mereka tidak sehebat pasukan Harimau Malaya.

Tidak salah sebenarnya memberi ganjaran kepada atlet sebagai tanda penghargaan mereka berjuang untuk mengharumkan nama negara, tetapi biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya.

Selain itu, ganjaran haruslah diberikan secara adil tanpa ‘double standard’ antara semua kategori sukan mengikut kejayaan yang berjaya dikecapi.

(Visited 445 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )