Lebih 10,000 rakyat Malaysia berstatus pendatang tanpa izin di Thailand
Lebih 10,000 rakyat Malaysia berstatus pendatang tanpa izin di Thailand

Lebih 10,000 rakyat Malaysia berstatus pendatang tanpa izin di Thailand

Lebih 10,000 rakyat negara ini terperangkap di Thailand dan berstatus pendatang tanpa izin (PATI) berikutan pas sempadan sudah tamat tempoh.

Mereka memasuki negara jiran sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac 2020 dan gagal pulang ke tanah air selepas pintu sempadan ditutup.

Hasrat mereka untuk pulang ke tanah air juga terbantut selepas Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di wilayah Songkhla gagal membantu memperbaharui pas sempadan.

Sementara itu jurucakap konsulat berkata, pihaknya tidak dapat membantu melanjutkan pas sempadan tamat tempoh kerana mereka yang terlibat perlu memohon surat kecemasan bagi mendapatkan kebenaran kerajaan Thailand untuk keluar dari negara itu.

“Mereka juga perlu membayar denda sebanyak 20,000 baht Thailand (RM2,600) kepada imigresen Thailand sebelum dibenarkan keluar dari negara berkenaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Rakyat Malaysia terlibat dipercayai memasuki Thailand kerana mempunyai keluarga dan berniaga di wilayah bersempadan antara Thailand dan Malaysia seperti Satun, Sadao, Songkhla, Yala dan Narathiwat.

Tempoh sah pas sempadan adalah selama setahun dari tarikh dikeluarkan dan tidak boleh dilanjutkan tempoh melainkan dengan membuat permohonan baharu di Jabatan Imigresen Malaysia dengan bayaran RM10.

Sebahagian besar daripada mereka memasuki negara jiran itu menggunakan pas sempadan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang lahir dan bermastautin melebihi setahun di Kedah, Perlis, Kelantan dan Hulu Perak.

Abdul Rahman, 48, antara rakyat Malaysia yang terkandas di negara Gajah Putih itu berkata, masalah tersebut berlaku apabila Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di wilayah Songkhla tidak memperbaharui pas sempadan rakyat Malaysia yang tamat tempoh.

Menurutnya, tindakan tersebut menyebabkan kebanyakan rakyat Malaysia yang memasuki negara jiran itu secara sah menggunakan pas sempadan sebelum PKP kini berstatus pendatang asing di negara tersebut.

“Kebanyakan mereka telah memohon kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia untuk memperbaharui pas sempadan mereka, namun ditolak oleh wakil pejabat tersebut.

“Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia sepatutnya membantu menyelesaikan masalah yang kami hadapi, iaitu mengadakan perbincangan dengan kerajaan Thailand bagi membenarkan mereka pulang semula ke Malaysia selepas pintu sempadan dibuka,” katanya.

Seorang lagi rakyat tempatan yang berada di negara itu, Razak, memaberitahu bahawa rakyat Malaysia yang memiliki pas sempadan tamat tempoh dan mahu pulang ke negara ini dikenakan denda RM20,000 baht Thailand (RM2,600) sehingga 40,000 baht Thailand (RM5,000).

Selain itu katanya, nama mereka juga disenarai hitam dan tidak dibenarkan memasuki negara itu antara tiga hingga lima tahun.

Mereka yang terkandas di Thailand kini merayu agar kerajaan Malaysia segera campur tangan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

(Visited 26 times, 1 visits today)

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )