Lebih ramai pemimpin muda diperlukan demi Malaysia yang lebih baik

Lebih ramai pemimpin muda diperlukan demi Malaysia yang lebih baik

Pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei 2018 merupakan momen penting kejayaan perjuangan reformasi rakyat yang bermula sejak 20 tahun lalu. Ia menjadi manifestasi bahawa tidak ada mana-mana kerajaan di dunia ini yang kekal dan kebal.

Dari perjuangan selama 20 tahun itu, lahir ramai bakat-bakat baru. Hari ini sudah ada yang bergelar wakil rakyat baik di peringkat negeri mahupun parlimen.

Kemenangan saya sendiri di kerusi DUN Johor merupakan suatu pengalaman baru. Saya yakin, pengalaman ini turut dilalui juga oleh rakan-rakan wakil rakyat yang masih muda dan kadangkala disindir sebagai ‘mentah’.

Dari satu aspek, hasil dukungan anak-anak muda yang menjalin kerjasama erat dengan golongan veteran yang berpengalaman luas menjadi ramuan menumbangkan regim BN pada PRU lalu.

Istilah ‘veteran’ bagi saya bukan sahaja dilihat aspek usia semata-mata, tetapi juga buat mereka yang telah dahulu terlebih lama berkecimpung dalam politik.

Namun kejayaan itu kini menjadi sejarah hitam apabila kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat disailang oleh Perikatan Nasional (PN). Kita tidak boleh menafikan ada ramai anak-anak muda dari dalam dan luar parti politik merasa kecewa.

Saya percaya bahawa kekecewaan ini ada asasnya. Pun begitu, saya turut percaya bahawa dalam setiap perkara pasti ada hikmahnya.

Bagi saya, saat hikmah ini tersingkap antaranya apabila rakyat menyaksikan perangai kebudak-budakan para pemimpin veteran yang beraksi di Dewan Rakyat.

Dengan pelbagai sindiran dan perlecehan antara satu sama lain, mereka ini tak ubah seperti tin kosong. Bukan bercakap soal polisi, tapi terpekik terlolong macam orang dirasuk polong. Bukan semua, tetapi sebahagian mereka inilah memberikan gambaran buruk ‘standard’ Dewan Rakyat kita.

Amat memalukan. Barangkali mereka tidak sedar, ada di kalangan anak cucu yang sedang memerhatikan gelagat mereka menerusi TV dan media sosial.

Orang kata, paling-paling tidak pun ‘cover line’ lah sedikit perangai tu. Ahli parlimen muda seperti Syed Saddiq dan Kasturi Patto telah menjadi bahan ejeken oleh pemimpin-pemimpin veteran ini, sekaligus tidak menunjukkan langsung kematangan dalam berhujah.

Kualiti perbahasan

Dengan sikap sebeginilah, saya bertambah yakin bahawa suatu perubahan tuntas perlu dilakukan. Penglibatan anak muda di Dewan Rakyat harus segera mengambil tempat bagi memastikan perjalanan serta inti perbahasan lebih terarah dan berkualiti. Inilah masanya.

Wakil rakyat Pakatan Harapan di Dewan Rakyat yang berumur bawah 45 tahun ada sekitar 22 orang. Ini merupakan suatu jumlah yang agak besar berbanding Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional yang hanya memiliki 2 orang sahaja (tidak termasuk Senator). Walaupun demikian, jumlah tersebut hanyalah sekitar 10 peratus sahaja daripada keseluruhan wakil rakyat.

Jika berlaku pertambahan wakil rakyat muda hingga mencecah 30 peratus atau 40 peratus, pastinya akan memberi nafas baru kepada perjalanan perbahasan di dewan.

Perbahasan yang lebih berkualiti berbanding apa yang kita saksikan pada ketika ini. Untuk mencapai jumlah tersebut, sudah sampai masanya anak muda berpartisipasi secara serius untuk menjadi pemain utama, menjadi wakil rakyat menerusi pilihanraya.

Mungkin ada yang akan berkata; hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong jika anak muda menawarkan diri untuk bertanding pilihan raya. Namun, perkara ini perlu dilihat ‘the other way round’.

Saya katakan, mana-mana parti yang ingin kekal relevan dan diterima sebagai parti masa hadapan, tidak dapat tidak perlu membuka ruang kepada generasi muda untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Ia memberikan mesej yang positif kepada rakyat bahawa parti beriltizam meninggalkan beban sejarah politik lama yang telah menjadi toksik, lantas bertekad untuk membina Malaysia yang lebih progresif.

Ini bukan soal survival politik kepartian semata-mata, tetapi ini adalah soal survival Malaysia. Saya tidak fikir Malaysia dapat bergerak seiring negara maju jika perangai-perangai ala badut yang terpekik terlolong melatari parlimen kita.

Parlimen seharusnya menjadi tempat berhujah secara matang, serius dan bernas dalam menegakkan dasar-dasar serta halatuju ekonomi yang lebih progresif untuk masa hadapan.

Mungkin para politikus veteran tidak ambil pusing hal ini. Tapi pemimpin-pemimpin muda seusia saya memandang serius kerana setiap patah kata yang diucapkan di dewan rakyat akan menentukan jatuh bangun jutaan anak muda kita di luar sana.

Bagi saya, mana-mana parti politik sekalipun yang berjaya merangkul lebih ramai anak muda untuk menjadi pemain utama dalam politik negara, akan menjadi pilihan rakyat.

Menghantar lebih ramai anak muda untuk berada di dewan rakyat mahupun DUN sebagai anggota legislatif akan memberi mesej yang betul kepada rakyat yang mahukan masa hadapan lebih baik dan progresif untuk Malaysia.

Bahkan, menerusi peningkatan jumlah wakil rakyat muda, akan membantu mempercepatkan proses kematanagan serta reformasi parlimen mahupun dewan negeri. Fungsi dewan yang lebih demokratik dapat dilaksana menerusi pelbagai idea segar, inisiatif baharu dan partisipasi yang lebih inklusif.

Kerana itu saya percaya, biar anak muda lakukannya!

YB Tuan Haji Sheikh ‘Umar Bagharib Bin Ali
Ahli Dewan Negeri N30 Paloh

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/536060

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )