Lelaki ditemui maut ditetak dan dibakar
Lelaki ditemui maut ditetak dan dibakar

Lelaki ditemui maut ditetak dan dibakar

Seorang lelaki ditemukan dengan kesan tetakan pada tangan dan muka, sebelum mayatnya dibakar di Jalan Simpang Kuala, di sini, hari ini.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja menerima panggilan kira-kira 7.00 pagi tadi, berhubung kebakaran di panggung wayang lama di Simpang Kuala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar, berkata anggota bomba yang memadam kebakaran menemukan mayat seorang lelaki di bawah sofa dan tilam yang terbakar.

Katanya, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian kemudian mendapati terdapat mayat lelaki tanpa identiti berusia lewat 40-an, di dalam bilik tingkat atas bangunan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan tetakan di tangan dan muka mayat yang dipercayai dibunuh.

“Kita juga mendapati terdapat sofa ditelangkup pada mayat dan tilam yang dibakar bertujuan memastikan mangsa mati,” katanya hari ini.

Suresh berkata, susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berada sekitar tempat kejadian pada jam 9.15 pagi bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut menemukan pisau di bawah bangunan panggung wayang itu.

“Angggota polis mengesan suspek yang berada sekitar bangunan dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah sebelum ini.

“Kita percaya kejadian ini mungkin membabitkan lebih seorang suspek, tetapi ia tidak membabitkan kumpulan samseng atau sebagainya,” katanya.

Suresh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi pemeriksaan lanjut.-BH

(Visited 77 times, 1 visits today)

COMMENTS