Lelaki gelang pink ditahan di restoran ketika makan malam, langgar SOP
Lelaki gelang pink ditahan di restoran ketika makan malam, langgar SOP

Lelaki gelang pink ditahan di restoran ketika makan malam, langgar SOP

Seorang lelaki bergelang merah jambu ditahan kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKKP) COVID-19 di Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini, malam tadi.

Lelaki berusia 52 tahun dan tinggal di Bandar Tasik Puteri itu ditahan ketika makan di sebuah restoran oleh sepasukan anggota polis pada jam 7.30 malam susulan aduan diterima daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata semakan mendapati lelaki berkenaan mendapat arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah bermula semalam sehingga 16 Oktober ini.

“Lelaki itu sudah menjalani ujian saringan COVID-19 selepas tiba dari Kota Kinabalu, Sabah dengan satu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam dan keputusan ujian masih belum diterima.

“Justeru kita tangkap dia kerana melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian bagi kontak jangkitan penyakit COVID-19 mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Bejangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, proses reman terhadapnya akan dijalankan hari ini dan ia akan dibuat di sebuah bilik khas yang disediakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988/ Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (No 8) 2020.

“Perbuatannya yang tidak mematuhi arahan menjalani kuarantin jelas boleh menggusarkan masyarakat sekitar.

“Justeru kita nasihatkan orang ramai supaya mematuhi perintah menjalani kuarantin seperti yang diarahkan pihak KKM bagi memastikan keselamatan mereka, keluarga mereka serta orang lain,” katanya.

Arifai berkata, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah kuarantin.

Dalam pada itu, tular beberapa gambar, semalam menunjukkan sepasukan anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas suspek di hadapan sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri.

Berita Penuh : BERITA HARIAN

(Visited 10 times, 1 visits today)

COMMENTS