Lima senjata rahsia baharu Pan Goon kemudi serangan Harimau Malaya
Lima senjata rahsia baharu Pan Goon kemudi serangan Harimau Malaya

Lima senjata rahsia baharu Pan Goon kemudi serangan Harimau Malaya

MALAYSIA akan turun dalam satu aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada Jumaat dan ketua jurulatih pasukan, Kim Pan-gon menyatakan dia akan menurunkan ‘senjata rahsia’ bagi aksi malam ini.

Brunei menjadi aksi pemanas badan pertama bagi pasukan negara sebelum menghadapi saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan bermula pada 8 Jun depan.

Pan-gon menyatakan dia bakal menurunkan senjata rahsia dan ramai pihak berpendapat senjata rahsia ini akan melibatkan pemain di bahagian serangan.

“Kami sudah mempersiapkan senjata rahsia bagi pasukan negara, dan jika segala perancangan yang dirancang berjaya mungkin penyokong Harimau Malaya akan dapat melihat formasi dan senjata baharu kami pada pertemuan esok (Jumaat),” katanya dalam sidang media perlawanan Malaysia bertemu Brunei baru-baru ini.

Berikut lima pemain senjata rahsia Kim Pan Goon

Darren Lok (PJ City FC)

Pemain kelahiran kacukan England-Malaysia ini besar kemungkinan akan diberikan tanggungjawab sebagai penggempur utama pasukan bagi menentang Brunei.

Kali terakhir Darren menyarung jersi skuad kebangsaan pada tahun 2016 ketika Harimau Malaya kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Darren tersenarai sebagai lima penjaring terbanyak dalam Liga Super musim ini dengan jumlah lima gol.

Jika dilihat dari segi prestasi semasa, Darren dilihat lebih sesuai kerana dia mendapat minit permainan yang cukup bersama PJ City dalam saingan Liga Super.

Dia juga merupakan satu-satunya pemain tempatan yang tersenarai sebagai lima penjaring terbanyak dalam Liga Super musim ini dengan jumlah lima gol.

Muhammad Faisal Abdul Halim (Terengganu FC)

Pemain berusia 24 tahun itu mungkin mengejutkan peminat jika diberi peluang membarisi kesebelasan utama skuad kebangsaan.

Dengan prestasi memberangsangkan skuad Sang Penyu sepanjang Liga Super, tidak mustahil pemain sayap lincah itu menjadi pilihan Pan-gon sebagai senjata menentang Brunei.

Ini kerana sebelum ini, Faisal yang terkenal dengan panggilan ‘Mickey’ hanya duduk di bangku simpanan ketika aksi persahabatan antarabangsa di Singapura berikutan kekurangan minit permainan ekoran masalah teknikal yang dihadapi pasukan Terengganu FC.

Shahrul Nizam Ros Hasni (Terengganu FC)

Selain Faisal, Shahrul Nizam antara pemain yang dikatakan membuatkan Pan-gon tersenyum lebar.

Sebagai tonggak utama Terengganu FC untuk dua musim berturut-turut, ia menunjukkan bahawa pemain berusia 24 tahun itu mempunyai aura yang tersendiri.

Merupakan pemain berkaki kidal, sudah pastinya kelebihan ini akan dipandang oleh jurulatih Harimau Malaya yang sangat teliti dalam pemilihan pemain termasuk kaki dominan seseorang pemain tersebut.

Shahrul Nizam merupakan tonggak utama Terengganu FC untuk dua musim berturut-turut

Untuk rekod, sebelum ini, Pan-gon telah membawa masuk Khuzaimi Piee sebagai pemain pertahanan tengah berkaki kiri atas sebab taktikal dan berjaya membuktikannya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina Mac lalu.

Ini bermakna, pertahanan tengah berkaki kiri sangat diperlukan dalam taktikal Pan-gon.

Afiq Fazail (JDT)

Pemain tengah pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ini antara pemain tempatan dalam skuad Harimau Malaya yang memiliki tanda harga bernilai tinggi yang mencecah RM1 juta.

Afiq Fazail pernah membantu JDT melakar sejarah ke peringkat kalah mati ACL.

Dia dilihat antara jentera pasukan yang membantu JDT melakar sejarah ke peringkat kalah mati Liga Juara-juara Asia (ACL).

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Negeri Sembilan FC)

Walaupun ramai menduga posisi penjaga gol mungkin bakal diisi oleh Farizal Marlias dari JDT, namun jangan terkejut jika Ahmad Syihan dijadikan Pan-gon sebagai senjata rahsia menghadapi Brunei.

Syihan, 26, sebelum ini memperagakan aksi menarik ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super hingga pasukan gergasi itu sukar membolosi gawang The Jangs.

Bagaimanapun dia tewas dengan jaringan gol bertaraf dunia yang dilakukan Fernando Forestieri pada penghujung perlawanan.

Untuk rekod, Syihan sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil bagi menyertai skuad kebangsaan sama ada skuad senior mahupun bawah 23 tahun (B-23) negara.

Kali terakhir di pentas antarabangsa ketika bersama skuad B-23 pada 2018 sebelum dia terpalit dengan isu doping dan digantung selama 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kini dia sudah bebas daripada penggantungan sejak 2020 lalu dan mula kembali menemui sentuhan lama sambil mengakui teruja dapat menyertai skuad Harimau Malaya.

(Visited 1,218 times, 1 visits today)

COMMENTS