LZNK PERKENAL 4 KADAR BAYARAN ZAKAT FITRAH TAHUN INI -MUFTI KEDAH.
LZNK PERKENAL 4 KADAR BAYARAN ZAKAT FITRAH TAHUN INI -MUFTI KEDAH.

LZNK PERKENAL 4 KADAR BAYARAN ZAKAT FITRAH TAHUN INI -MUFTI KEDAH.

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan empat kadar pembayaran zakat fitrah tahun ini berbanding cuma tiga pada 2019 sebagai langkah untuk membantu mempermudahkan urusan rakyat menunaikan rukun Islam tersebut, di sepanjang tempoh ‘peperangan’ menghadapi COVID-19 ketika ini.

Mufti Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang berkata, kadar terbaru yang diperkenalkan adalah RM5 untuk individu yang memakan Beras Super Tempatan 10-15 peratus hancur diikuti RM7, RM14 dan RM21 untuk gred beras lebih tinggi.

Begitu pun katanya, bagi umat Islam yang mampu, tiada masalah sekiranya mereka mahu membayar pada kadar lebih tinggi berbanding jenis beras dimakan, kerana perkara sebegitu sememangnya digalakkan oleh agama.

“Bagi mereka yang berkeluarga ramai dan amat terkesan dengan keadaan sekarang, Islam juga ada penyelesaiannya. Katakanlah dalam satu keluarga ada lima orang dan jika mengikut kadar RM5, bayaran zakat fitrah untuk semua mereka adalah RM25.

“Namun jika mereka cuma mampu membayar untuk tiga orang iaitu suami, isteri dan seorang anak, itu sudah mencukupi kerana yang menjadi tuntutan dalam agama hanya tiga orang itu saja ketika mereka tiada kemampuan,” katanya.

Sementara itu katanya, pembayaran zakat pada tahun ini digalakkan untuk dilaksanakan secara atas talian berikutan keadaan semasa.

“Antaranya menerusi platform atas talian (online) di laman sesawang ‘Jom Zakat’ (http://jom.zakatkedah.com.my), Asnaf Care (http://asnafcare.com.my) serta aplikasi Zakat On Touch (ZOT) yang boleh diakses melalui telefon pintar.

“Bagaimana untuk golongan yang tidak mempunyai akses kepada kaedah itu, seramai 3,700 amil lantikan bersedia menjalankan tugas masing-masing untuk menyempurnakan kutipan zakat. LZNK akan mengeluarkan garis panduan kepada mereka mengenai kaedah kutipan terbaik dan perkara itu akan diuar-uarkan kepada orang ramai kemudian,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Zakat dekat sini, hari ini

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya menjangkakan kutipan zakat pada tahun ini mungkin akan sedikit berkurangan berbanding RM10 juta yang diperolehi berbanding 2019.

“Tahun ini kita menyasarkan jumlah kutipan sama. Namun dalam keadaan kita memberi kelonggaran kepada rakyat, kita menjangkakan jumlahnya sedikit rendah,” katanya.

(Visited 2 times, 1 visits today)

COMMENTS