Mahiaddin wajib letak jawatan -Dato’ Phahrolrazi

Mahiaddin wajib letak jawatan -Dato’ Phahrolrazi

Tanggal 2 Ogos 2021 yang sepatutnya menjadi hari terakhir sidang khas parlimen telah dibatalkan pada saat-saat akhir oleh kerajaan pimpinan Mahiaddin Yasin. Pembatalan ini tidak boleh diterima kerana alasan yang begitu lemah, kononnya berlaku penularan jangkitan Covid-19 di kalangan petugas-petugas di parlimen. Berikutan alasan itu, sidang pada hari Khamis ditangguhkan, kononnya atas nasihat Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, walhal hasil daripada swab test menunjukkan hanya beberapa orang sahaja yang didapati positif dan ini tidak sepatutnya menjadi sebab sidang dibatalkan.

Umum mengetahui bahawa kerajaan Perikatan Nasional tidak dapat lagi mempertahankan kedudukan mereka. Apa yang lebih jelas pada 26 Julai hari pertama di awal perbahasan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan secara spontan telah mengisytiharkan bahawa semua Ordinan-Ordinan Darurat telah pun dibatalkan hasil daripada keputusan kerajaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri. Tetapi apabila disoal oleh ahli parlimen adakah pembatalan ini mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, beliau tidak dapat memberi pengesahan dan hanya menggunakan arahan daripada speaker iaitu penjelasan terperinci akan dibuat pada sidang 2 Ogos.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah membuat tindakan melampau apabila mengisytiharkan pembatalan ordinan tanpa mendapat perkenan daripada Yang Pertuan Agong sehingga memaksa Istana Negara mengeluarkan kenyataan media menzahirkan betapa baginda berasa amat dukacita diatas tindakan menteri undang-undang yang mengelirukan parlimen untuk menyatakan pembatalan ordinan berkenaan. Dalam tempoh empat hari persidangan, berlaku ketegangan di parlimen apabila ahli-ahli parlimen pembangkang bersungguh-sungguh membahaskan perkara ini. Malangnya perbahasan ini tidak mempunyai satu makna yang jelas kerana sepatutnya ordinan tersebut dibentangkan, dibahas dan diundi untuk diluluskan atau ditolak seperti mana kehendak Yang Dipertuan Agong namun sidang telah ditangguhkan.

Namun begitu, oleh kerana janji yang telah dibuat oleh kerajaan untuk menjelaskan ordinan tersebut pada 2 Ogos, semua ahli parlimen pembangkang terdiri daripada parti parti gabungan Pakatan Harapan, Warisan, Pejuang, Muda dan parti-parti daripada Sabah juga berkumpul di Kuala Lumpur untuk berarak menuju ke parlimen tetapi dihalang oleh pihak polis.

Apa yang jelas, dimaklumkan oleh ketua pembangkang bahawa ahli-ahli parlimen yang hadir menjangkau 107 orang dan mengambil kira ahli parlimen UMNO yang telah pun menarik diri dari menyokong kerajaan Mahiaddin Yasin, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional sudah pun tumbang.

Pada 31 Julai hari Sabtu, ribuan anak muda lebih awal turun ke jalanraya, berhimpun untuk bergerak ke Dataran Merdeka tetapi dihalang oleh pihak polis, menyatakan bahawa mereka telah hilang keyakinan kepada kerajaan yang sedia ada dan mereka menuntut supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan kerana gagal dalam menguruskan pandemik ini. Segala langkah yang telah dibuat oleh kerajaan lebih satu tahun setengah menunjukkan kegagalan kerajaan mengawal pandemik ini sehingga menyebabkan lebih 1 juta orang telah dijangkiti wabak dan kes harian mencecah 17,000 sehari . Angka kematian pula melebihi 8000 secara keseluruhan dengan kematian harian mencecah 200 orang sehari!

Ini membuktikan bahawa segala inisiatif yang dibuat oleh kerajaan langsung tidak berkesan dalam menangani Covid-19 ini. Perlaksanaan PKP hanya menyebabkan ekonomi rakyat merudum, perniagaan tidak dapat dijalankan, rakyat hilang punca pendapatan dan menyebabkan kemerosotan ekonomi yang teruk. Ini membawa kesan kepada kehidupan rakyat, walaupun ada bantuan yang diberi oleh kerajaan namun ianya tidak mampu mengatasi masalah mereka dalam menghadapi kesan daripada kejatuhan ekonomi ini. Begitu juga kesan kepada kehidupan sosial di mana tidak pernah berlaku sebelum ini satu jumlah yang mengejutkan mereka yang membunuh diri kerana tidak sanggup untuk menghadapi kesempitan ekonomi yang melanda kehidupan mereka.

Berikutan keputusan mesyuarat MKT UMNO pada petang ini 3 Ogos yang mengambil keputusan menarik sokongan kepada kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Yasin disertakan pemakluman 11 MP UMNO juga mengesahkan penarikan sokongan maka jelas kerajaan Mahiaddin Yassin dan Perikatan Nasional sudah hilang keabsahan untuk dipertahankan lagi dan tidak ada jalan lain kecuali Mahiaddin Yassin sebagai ketua kerajaan meletakkan jawatan dan menyerahkan kembali kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk melantik mana-mana ahli parlimen yang mempunyai cukup bilang bagi membentuk kerajaan yang baru. Semoga kerajaan baru dapat dibentuk cepat mungkin dan satu strategi baru perlu dibuat untuk melaksanakan tindakan-tindakan yang mempunyai hala tuju yang lebih jelas untuk mengatasi masalah sedia ada pada ketika ini.

DATO’ HAJI PHAHROLRAZI BIN HAJI ZAWAWI
Pengerusi
AMANAH Negeri Kedah

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )