MAJLIS AKAD NIKAH DIBENARKAN BERLANGSUNG DI PEJABAT AGAMA DAERAH- MUKHRIZ MAHATHIR
MAJLIS AKAD NIKAH DIBENARKAN BERLANGSUNG DI PEJABAT AGAMA DAERAH- MUKHRIZ MAHATHIR

MAJLIS AKAD NIKAH DIBENARKAN BERLANGSUNG DI PEJABAT AGAMA DAERAH- MUKHRIZ MAHATHIR

ALOR SETAR – Sebanyak 952 pasangan yang telah diberi kebenaran untuk berkahwin di negeri ini namun terpaksa menangguhkannya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini boleh menarik nafas lega setelah kerajaan negeri bersetuju untuk membenarkan majlis pernikahan disempurnakan dengan syarat tertentu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) kini memperuntukkan selama lima hari seminggu untuk Pejabat Agama Islam di setiap daerah, menguruskan upacara akad nikah.

“Antara syaratnya adalah majlis pernikahan tersebut perlu dilaksanakan di pejabat agama Islam daerah. Kedua-dua pasangan akan ditemani oleh seorang wali pengantin perempuan manakala tiga saksi disediakan pihak pejabat agama daerah.

“Tiada majlis lain kecuali akad nikah diuruskan pejabat agama kerana kita tak benarkan orang ramai berkumpul,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Tambahnya, pasangan terbabit bagaimanapun perlu mendaftar terlebih dulu dengan tarikh serta waktu pernikahan akan ditetapkan oleh pihak pejabat agama daerah agar perjalanan majlis teratur.

“Kebenaran ini bagaimanapun hanya tertakluk kepada pasangan yang mana kedua-duanya berada di Kedah.

“Jika salah satu daripada pasangan terbabit berada di negeri lain, kita sedang usahakan kaedah lain antaranya persidangan video. Kita juga akan menilai kaedah digunakan di negeri lain untuk diselaraskan di Kedah,” ujarnya.

Katanya pejabat agama daerah diminta menguruskan supaya terdapat kebenaran diberikan kepada pasangan untuk bergerak ke lokasi pernikahan bagi memudahkan perjalanan mereka ketika melalui sekatan jalan raya.

(Visited 13 times, 1 visits today)

COMMENTS