Makcik Rokhimah tidur bertemankan air hujan di rumah usang

Makcik Rokhimah tidur bertemankan air hujan di rumah usang

“Saya selalu terjatuh akibat terpijak lantai rumah yang reput. Keadaan dalam rumah juga selalu basah setiap kali hujan.” Keluhan seorang wanita warga emas yang mendiami sebuah rumah pusaka yang daif dan usang di Lorong Ayer Puteh, Jalan Pegawai, Alor Setar di sini.

Rokhimah Ismail, 67, memberitahu pihak KedahKini bahawa beliau telah mendiami rumah pusaka tersebut semenjak tahun 1973. Namun keadaan rumah yang semakin usang dan dimakan anai-anai itu hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.

Atap rumah yang bocor serta dinding yang telah dimakan anai-anai sering kali menyebabkan hujan masuk ke dalam rumah. Beliau juga menceritakan detik-detik terpaksa tidur dalam keadaan basah kerana hujan lebat.

“Saya terpaksa tidur dalam keadaan basah bila hujan turun. Bumbung rumah pun banyak yang telah bocor, dinding pun ada yang sudah tercabut” ujar beliau.

“Saya teringin hendak buat rumah baharu tapi belum ada wang hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM350 dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM200 sebulan, itu pun hanya untuk beli keperluan harian dan ubat-ubatan” katanya.

Beliau juga pernah menyatakan bahawa pernah diajak untuk tinggal bersama dengan kakak beliau di Jitra, tetapi  terpaksa menolak kerana tidak mahu menyusahkan keluarga kakaknya.

“Saya juga pernah memohon rumah daripada LZNK pada Ogos tahun lalu dan sangat berharap rumah pusaka ini akan dapat diganti dengan rumah lebih selesa,” katanya.

Makcik Rokhimah hari ini telah menerima kunjungan dari Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah, Hazwan Haniff , Pengarah Program Kebajikan NGO Kami Anak Kedah, Firdaus Shater dan Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Kedah, Amirul Syahir Musa yang hadir menghulurkan bantuan barangan keperluan harian.

 

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )