Mana rumah kami?
Mana rumah kami?

Mana rumah kami?

JERLUN – Pemohon PPR Jerlun hari ini mengadakan demonstrasi aman menuntut kerajaan negeri menyerahkan rumah yang telah siap dibina untuk diduduki.

Projek PPR Jerlun yang dikatakan sudah siap sepenuhnya pada bulan Julai tahun lepas masih lagi tidak berpenduduk. Difahamkan, sebanyak 630 unit rumah yang telah siap, terbiar dan tidak dihuni, menyebabkan 300 unit telah rosak teruk. Antara kerosakan yang dikesan ialah siling bocor, dinding retak, wayar elektrik tercabut dan dicuri.

Antara kerosakan yang dikesan di PPR berkenaan, siling pecah dan wayar elektrik dicuri

Menurut jurucakap kumpulan berkenaan, Din Wahab atau lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Din Misai, pemohon mengadakan satu demo, dihadapan PPR Jerlun pada pagi ini bagi menuntut penjelasan kerajaan negeri dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kenapa proses pemilihan, temu duga dan seterusnya penyerahan kunci kepada pemilik belum dijalankan untuk PPR Jerlun?

“Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) pernah melawat projek ini dan berjanji akan bertindak dan selesaikan masalah ini dengan segera tapi tak selesai juga sampai sekarang. Kami semua bukan orang senang, golongan B40 belaka. Kami orang susah. Ada yang menumpang rumah saudara mara dan menyewa. Kami dalam keadaan yang terdesak sekarang, amat memerlukan kediaman yang selesa dan tetap untuk keluarga kami.”

Sebahagian pemohon menuntut kerajaan pusat dan negeri segera menyelesaikan isu berkenaan

Beliau juga menyatakan bahawa projek berkenaan adalah inisiatif bekas Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir. “Dato Seri Mukhriz yang membawa projek ini ke Jerlun untuk kami, dapat kelulusan dan cari dana. Senarai penerima juga telah dikenalpasti dan dipilih, tetapi kami dengar sekarang, kononnya senarai pemohon untuk dipertimbangkan bagi PPR Jerlun ini akan dirombak. Kenapa pula? Adakah ini kerana senarai nama yang ada tidak berkepentingan dan boleh saja ditolak ke tepi untuk memberi laluan kepada orang tertentu?” ujar beliau kesal.

Kumpulan berkenaan menuntut kerajaan pusat dan kerajaan negeri agar segera menyelesaikan isu berkenan. “Kami minta Kerajaan Pusat dan juga Kerajaan Negeri mengambil maklum keluhan kami ini. Kami sangat berharap untuk memiliki rumah sendiri seperti orang lain. Adakah kami perlu terus mengemis untuk mendapat hak sendiri, sedangkan itu adalah tanggungjawab Kerajaan? Tolong selesaikan masalah ini dengan segera. Jangan aniayai kami. Jangan nafikan hak kami. Tunaikan tangggungjawab yang diamanahkan dengan cepat, adil dan saksama.”

(Visited 203 times, 1 visits today)

COMMENTS