Manchester United hilang khidmat Rashford, akan kembali setelah pulih

Manchester United hilang khidmat Rashford, akan kembali setelah pulih

LONDON: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford menjalani pembedahan bahu dan pasukan itu menjangkakan penyerang terbabit akan terlepas beberapa aksi pada awal musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu berdepan masalah bahu dan bergelut untuk mengatasinya sepanjang musim lalu serta ketika bersama England pada Kejuaraan Eropah 2020.

Dia mungkin terpaksa diketepikan sehingga Oktober dan United dalam satu kenyataan berkata ‘susulan perbincangan antara Marcus, pengurus, kakitangan perubatan dan pakar, Marcus akan menjalani pembedahan untuk mengubati masalah bahunya.

“Dia kini akan fokus untuk proses pemulihan supaya dapat kembali secepat mungkin.”

United bakal membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Leeds di laman sendiri pada 14 Ogos dan penyerang itu juga berkemungkinan akan terlepas lima perlawanan kelayakan Piala Dunia bersama England.

Rashford sebelum ini pernah berbicara mengenai isu kecergasannya apabila mengakui dia tidak berada pada tahap terbaiknya ketika pusingan kedua musim lalu.

“Saya memang tidak berada pada tahap terbaik daripada apa yang boleh saya berikan,” kata Rashford sebelum ini.

“Apa sahaja yang berlaku, saya tidak fikirkan sangat kerana saya dapat menghabiskan musim bersama United.

“Saya terbabit dalam 36 gol, jadi saya tidak boleh berfikir untuk mengambil rehat bagi melakukan perkara lain. Saya hanya mahu supaya boleh beraksi dalam setiap perlawanan,” tambahnya. -AFP

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )